PADA mulanya saya ingin menulis, ‘Kurang bersemangat dan suasana yang tidak dapat diramalkan’ tetapi peringkat terakhir kempen menjelang pilihan raya berlalu dengan amat cepat. Tinjauan palsu sengaja disebarkan, terdapat perpecahan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA mulanya saya ingin menulis, ‘Kurang bersemangat dan suasana yang tidak dapat diramalkan’ tetapi peringkat terakhir kempen menjelang pilihan raya berlalu dengan amat cepat.

Tinjauan palsu sengaja disebarkan, terdapat perpecahan parti yang penuh dengan sabotaj dalaman dan semangat yang ketara daripada pemimpin dan penyokong. Mereka benar-benar menyangka mereka akan menang!

Namun, kebanyakan pakar dan ahli psefologi mempunyai lebih banyak kaveat daripada biasa kali ini. Tiga faktor adalah amat penting.

Pertama, lebih enam juta pengundi baharu hasil daripada penurunan umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik.

Adakah peratusan keluar mengundi yang rendah pada pilihan raya negeri Johor pada Mac 2022 akan berulang? Bukti anekdot saya menunjukkan bahawa generasi yang mendapat berita daripada TikTok masih lagi berahsia.

Ibu bapa telah memberitahu saya anak mereka yang baru layak mengundi berminat untuk mengundi, dan membincangkan politik dan hal ehwal semasa di rumah, tetapi tidak mendedahkan siapa pilihan mereka.

Seorang remaja 18 tahun terus terang berkata - "Ayah, undi saya adalah rahsia!” - dan ayah (dengan perasaan bangga dan menyesal serentak) tidak bertanya lagi.

Ini adalah pewajaran menurunkan umur mengundi, dan jika wujud dalam setiap isi rumah di seluruh negara, adalah perkembangan yang sangat sihat.

Semua kanak-kanak harus berasa selesa dan yakin untuk membincangkan politik, dan dihormati pendapat dan pilihan mereka.

Kemampuan hidup bersama walaupun berlainan pendapat adalah teras demokrasi, dan apabila sikap seperti itu dinormalisasi dalam rumah tangga, hal ini akan turut menjadi normal dalam masyarakat yang lebih luas.

Kedua, ini kali pertama begitu banyak gabungan dan parti dengan calon yang sudah berkhidmat sebagai menteri akan bertanding sesama sendiri.

Bukan sahaja janji, malah pengalaman sebenar turut akan dibandingkan.

Pilihan raya umum lepas telah memecahkan halangan psikologi yang penting iaitu kemungkinan tinggi untuk mengundi pembangkang tetapi kini pertimbangan itu akan berdasarkan rekod prestasi semasa calon dan parti politik.

Benar, bagi sesetengah pengundi, sentimen perkauman dan agama akan tetap menjadi keutamaan.

Walaupun begitu, apabila begitu banyak parti yang bertanding melaungkan "Hidup Melayu!”, calon-calon itu sendiri menarik perhatian kepada kecekapan dan kebolehpercayaan mereka, dan perbezaan dasar dalam manifesto.

Ini telah membantu menjana platform berita dan pempengaruh media sosial yang menganalisis dan membahaskan perbezaan dasar ini.

Hal ini seterusnya menormalkan idea bahawa aspek-aspek lain juga penting dalam memilih siapa yang harus mewakili kita.

Ketiga, perbezaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini antara personaliti dan parti.

Dengan begitu ramai ahli Parlimen bertukar parti sebelum akta anti-lompat parti, pengundi juga perlu memutuskan sama ada kesetiaan mereka terletak pada calon individu atau parti yang mereka wakili.

Dalam sesetengah kes, individu tersebut mungkin begitu popular (atau dianggap telah bertukar parti secara wajar) sehinggakan mereka akan terselamat daripada menjadi katak.

Dalam kes lain, kesetiaan kepada logo parti masih mengatasi segala-galanya.

Dan mungkin dalam satu atau dua kes, calon itu diketahui bercanggah dengan parti mereka sendiri, dan oleh itu timbul dilema bahawa individu itu mungkin dikehendaki tetapi pemimpin parti mereka, yang boleh menjadi Perdana Menteri, tidak diingini.

Dalam artikel pertama saya mengenai topik ini yang ditulis selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008, saya menulis bahawa Perlembagaan Persekutuan menganggap kita memilih individu, bukan sekadar hamba parti politik yang tidak berfikiran: contoh-contoh lompat parti dan kelulusan rang undang-undang anti-lompat parti telah menambahkan lebih aspek dalam hal ini.

Namun begitu, adalah mustahil untuk mengira dengan tepat semua situasi yang boleh berlaku, dan dengan itu, prinsip umum adalah untuk mengisi Parlimen dengan individu yang terbaik, kerana dari populasi inilah kerajaan kita akan dibentuk.

Dengan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan Kumpulan Rentas Parti Parlimen, kapasiti ahli Parlimen secara individu menjadi lebih relevan.

Tetapi secara lebih luas, kemungkinan kestabilan dalam politik Malaysia pada masa hadapan tidak akan dicapai melalui majoriti besar oleh mana-mana satu entiti.

Sebaliknya, ia akan dicapai melalui pembinaan gabungan dan bekerja merentasi spektrum politik dengan galakan daripada masyarakat sivil, institusi-institusi lain, dan seperti semasa Covid-19, Yang di-Pertuan Agong juga.

Aritmetik Parlimen selepas semuanya reda mungkin menguji teori ini dengan lebih lanjut.

Dalam pada itu, terdapat juga kejadian keji gangguan ganas pada ceramah, vandalisme poster dan penggunaan kata-kata perkauman.

Mudah-mudahan ini hanya mencerminkan sikap keputusasaan orang fanatik yang kecewa kerana kebanyakan pengundi telah beralih daripada kesetiaan suku kaum, dan sebaliknya menilai pelbagai faktor untuk menandakan ‘X’ mereka.

Hujan monsun atau tidak, kita mungkin menghadapi keraguan pada hari Ahad.

Saya berdoa agar sistem pertahanan banjir dan perparitan kita - institusi kita - berfungsi dengan baik untuk membersihkan keadaan tersebut dan meninggalkan kerajaan yang boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia sebagai sah.

Klik di sini untuk terus membaca