WASHINGTON - Parti Republikan (GOP) merampas kawalan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) daripada Demokrat selepas meraih majoriti tipis dengan memenangi 218 kerusi daripada 435 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Pertengahan Penggal yang berlangsung pada 8 November lalu.
Kawalan di Dewan Perwakilan bertukar tangan pada Rabu selepas Mike Garcia menewaskan pesaingnya yang mewakili Demokrat, Christy Smith di District 27, California dengan meraih 54.2 peratus undi.
Ia dijangka memberi cabaran baharu kepada Biden untuk penggal perkhidmatannya yang berbaki dua tahun lagi.
Keputusan itu diperoleh beberapa hari selepas Demokrat berjaya mengekalkan kawalan mereka di Senat untuk penggal seterusnya menerusi kemenangan Catherine Cortez Masto pada persaingan sengit di Nevada pada Sabtu lalu yang akhirnya memberikan Demokrat 50 kerusi bagi meraih majoriti di Senat.
Presiden Joe Biden turut mengucapkan tahniah kepada Pemimpin Minoriti Dewan Perwakilan, Kevin McCarthy atas kemenangan Republikan dan menyatakan beliau sedia untuk bekerjasama dengan GOP.
"Keputusan pengundian pada 8 November lalu adalah bukti penolakan yang kuat terhadap penafian pilihan raya, keganasan politik dan sebarang bentuk ugutan serta menunjukkan kekuatan dan daya tahan demokrasi Amerika," ujar Biden.
Sementara itu, McCarthy menerusi Twitter berkata, rakyat Amerika bersedia untuk hala tuju baharu dan GOP yang kini mengawal Dewan Perwakilan siap siaga untuk merealisasikan impian mereka.
McCarthy turut memenangi undian untuk memegang kepimpinan GOP melalui undi secara rahsia yang meletakkannya pada kedudukan utama sebagai Speaker baharu Dewan Perwakilan.
Khabar gembira buat GOP itu diumumkan sehari selepas bekas Presiden, Donald Trump mengumumkan akan bertanding untuk kembali merebut jawatan di Rumah Putih pada 2024.
Sebelum ini, GOP diramalkan bakal merampas kawalan di kedua-dua dewan susulan populariti Biden yang merosot menjadi penyebab utama sokongan beralih kepada Republikan.
GOP juga terlalu yakin dengan kebangkitan 'gelombang merah' untuk memberikan mereka kawalan ke atas Dewan Perwakilan dan Senat bagi 'menghalang' kebanyakan rancangan perundangan Biden.
Pelosi 'pembela demokrasi'
Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi yang mencipta sejarah menjadi wanita pertama memegang jawatan nombor tiga tertinggi di AS mengumumkan beliau akan melepaskan jawatan sebagai pemimpin Parti Demokrat apabila GOP mengambil alih dewan itu pada Januari depan.
"Saya enggan bertanding semula untuk jawatan kepimpinan Demokrat bagi Kongres akan datang. Masanya sudah tiba untuk generasi baharu memimpin kaukus Demokrat," katanya.
Biden turut menggelar Pelosi, 82, sebagai 'pembela demokrasi' dan Speaker Dewan Perwakilan 'paling penting' dalam sejarah negara itu.
"Kehidupan jutaan rakyat Amerika menjadi lebih baik kerana Pelosi walaupun di daerah yang diwakili GOP yang sentiasa menentang rang undang-undang (RUU) dan sering kali memburukkan reputasi beliau.
"Amerika akan mengenang jasa beliau yang sentiasa berusaha melindungi demokrasi terutamanya ketika pencerobohan ganas oleh penyokong Trump di Capitol pada 6 Januari 2021," ujarnya.
Bekas Presiden Barack Obama juga memuji wanita itu kerana menjadi salah seorang penggubal undang-undang paling berwibawa dalam sejarah Amerika.
"Ucapan terima kasih tidak cukup untuk menghargai persahabatan dan kepimpinan Pelosi," kata Presiden ke-44 AS itu menerusi Twitter.
Pelosi menganggotai Kongres pada 1987 dan menjadi wanita pertama dilantik sebagai Speaker dewan itu pada 2007.
Menjelang Pilihan Raya Pertengahan Penggal pada 8 November lalu, Pelosi pernah dirawat di hospital akibat kecederaan serius yang dialaminya kerana diserang dengan penukul setelah kediaman keluarganya di California dipecah masuk dan kejadian itu turut menggemparkan politik AS.
"Minggu lalu, rakyat Amerika telah bersuara untuk mempertahankan kebebasan, kedaulatan undang-undang dan demokrasi negara ini.
"Dalam Kongres akan datang, anggota Demokrat di Dewan Perwakilan akan terus memainkan peranan utama mereka untuk menyokong agenda Biden," kata Pelosi yang akan mengemukakan rancangan 'masa depan' untuk parti berkenaan.
Hakeem Jeffries, 52, yang menyifatkan Pelosi sebagai 'Yang Terhebat Sepanjang Zaman (GOAT) dijangka menjadi Pemimpin Minoriti Demokrat untuk penggal seterusnya. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca