SHAH ALAM - Selepas lebih lapan tahun berlalu dan telah mendapat pengadilan di mahkamah, waris mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 kini tidak lagi menyimpan dendam selepas kehilangan ayah tersayang dalam tragedi menyayat hati pada 17 Julai 2014.
Pun begitu, Ammar Syarif Mohd Ghafar, 33, berasa sedikit terkilan apabila ayahnya, penyelia kabin, Mohd Ghafar Abu Bakar, tidak sempat melihat anak-anaknya berumah tangga.
"Sebagai seorang anak lelaki, saya belajar untuk menerima hakikat dengan lebih cepat biarpun ada rasa sedih di hati.
"Saya percaya semua ada hikmah dan tidak elok untuk bersedih terlalu lama. Jadi kami reda dengan pemergian ayah.
"Saya rapat dengan ayah dan agak kesal apabila ayah tidak sempat melihat dua orang anaknya berkahwin dan rasa nikmat mempunyai cucu. Kini, saya juga sudah berkahwin dan mempunyai dua anak,” katanya kepada Sinar Premium.
Ketika kejadian, Ammar Syarif yang berumur 25 tahun pada waktu itu, terkejut kehilangan ayah dalam sekelip mata, namun terpaksa menguatkan semangat demi keluarga terutamanya buat ibu tercinta.
"Yang paling sedih antara kami sudah semestinya ibu kerana ayah meninggal bukan di depan matanya.
"Namun, kami tetap bersyukur kerana dikhabarkan mayat ayah dalam keadaan yang sempurna dan sampai di Malaysia pada 25 Ogos 2014.
"Cuma antara pesanan dan kata-kata akhir arwah ayah yang saya ingat sehingga kini adalah untuk tidak melupakan solat dan ibu bapa,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.
Mahkamah Daerah The Hague, Belanda menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas tiga individu yang bersalah menembak jatuh pesawat berkenaan.
Mahkamah yang bersidang bermula awal Mac 2020, memutuskan pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia yang disasarkan dari sebuah ladang berhampiran di Pervomaisk yang terletak di timur Ukraine.
Dalam kejadian itu, kesemua penumpang terbunuh apabila Boeing 777 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak di timur Ukraine, yang dikuasai oleh pihak pemisah.
Bahan forensik termasuk serpihan yang ditemui dalam mayat mangsa membuktikan ia adalah peluru berpandu BUK.
Klik di sini untuk terus membaca