SHAH ALAM - Waris tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 meluahkan rasa syukur apabila penantian selama lapan tahun akhirnya terbela selepas Mahkamah Daerah The Hague, Belanda menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas tiga individu yang bersalah menembak jatuh pesawat itu pada 17 Julai 2014.
Malah kata Muhammad Muhriz Marzaidi, 18, keputusan mahkamah itu juga telah memberi keadilan buat 298 mangsa yang terkorban.
"Saya mendapat tahu berita ini selepas menonton perbicaraan mahkamah tersebut di kaca televisyen, semalam (Khamis). Saya amat lega apabila teka-teki siapa yang menembak jatuh pesawat itu akhirnya terjawab.
"Saya rasa bersyukur kerana doa saya selama lapan tahun ini termakbul jua. Saya gembira dengan keputusan mahkamah dan menerimanya dengan hati yang terbuka,” katanya kepada Sinar Premium.
Muhammad Muhriz merupakan anak kepada pramugari Malaysia Airlines, Mastura Mustafa.
Ketika kejadian itu berlaku, pemuda itu baharu berusia 10 tahun.
"Dengan keputusan itu, saya rasa kematian ibu termasuk 298 yang lain telah terbela.
"Ini keadilan buat semua dan saya percaya bukan hanya saya dan keluarga yang berasa gembira bahkan semua waris MH17 turut mempunyai perasaan yang sama,” katanya.
Muhammad Muhriz yang merupakan satu-satunya anak Mastura berkata, ahli keluarganya yang lain turut memberi reaksi positif dan berpuas hati dengan keputusan mahkamah.
"Mereka turut berasa lega kerana keadilan dapat dibuktikan di mahkamah. Akhirnya doa semua orang telah terjawab dan penantian yang ditunggu-tunggu selama lapan tahun membuahkan hasil,” katanya.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan Muhammad Muhriz berdepan trauma berpanjangan apabila dia tidak boleh lagi melihat kapal terbang sama seperti dulu kerana memori kehilangan ibunya dalam sekelip mata akan menjelma.
"Saya tidak boleh melihat kapal terbang sehingga kini kerana ia sentiasa mengingatkan saya tentang ibu.
"Saya seperti dapat melihat kelibat ibu dan selepas kejadian itu, saya tidak pernah menjejakkan kaki di dalam kapal terbang lagi.
"Mungkin ia akan memakan masa yang agak lama untuk saya kuat menaiki kapal terbang semula,” katanya sebelum ini.
Tiga daripada empat tertuduh yang didakwa menembak jatuh MH17 disabit kesalahan pada Khamis.
Lelaki yang disabitkan kesalahan tersebut merupakan dua bekas pegawai perisikan Rusia, Igor Girkin dan Sergey Dubinskiy manakala seorang lagi pemimpin pemisah Ukraine, Leonid Kharchenko.
Jelas Ketua Hakim Hendrik Steenhuis, ketiga-tiga mereka didapati bersalah kerana menjatuhkan pesawat dan membunuh semua 298 penumpang termasuk termasuk 43 rakyat Malaysia.
Oleg Pulatov dari Rusia yang sebelum ini berpendapat bahawa perbicaraan itu tidak adil, dilaporkan tidak bersalah.
Klik di sini untuk terus membaca