SHAH ALAM - Fenomena luar biasa di mana pengundi termasuk golongan muda dan atas pagar yang keluar mengundi secara beramai-ramai hingga menyebabkan pusat pengundi sesak terutamanya pada waktu pagi hingga jam 2 petang menimbulkan persoalan adakah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini bakal menyaksikan gelombang tsunami politik.
Keadaan itu dibuktikan dengan statistik dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan jumlah peratusan keluar mengundi sehingga jam 3 petang, Sabtu, mencecah hampir 65 peratus dan angka itu mungkin terus meningkat sebelum pusat pengundian ditutup jam 6 petang nanti.
Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, berkata, beliau tidak menolak kemungkinan peratusan keluar mengundi pada PRU15 bakal mencecah melebihi 85 peratus jika pusat pengundi terus mengalami kesesakan.
Mazlan berkata, beliau sendiri terkejut apabila tinjauannya di sekitar Lembah Klang mendapati terdapat fenomena luar biasa di mana orang ramai berpusu-pusu membanjiri pusat pengundian bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing, sejak pagi tadi.
"Saya merasakan agak luar biasa kerana hasil tinjaun mendapat orang ramai tidak putus-putus datang ke pusat pengundian terutama di sekitar Lembah Klang untuk membuang undi.
"Malah, sehingga jam 4 petang ini jalan raya dan pusat pengundi masih sesak dengan kehadiran orang ramai yang keluar mengundi dan tempoh sebenar pengundi adalah sehingga jam 6 petang," katanya.
Mazlan berkata, jika jumlah peratusan keluar mengundi melebihi 85 peratus maka ia adalah sesuatu yang luar biasa memandangkan jumlah individu yang layak mengundi iaitu sebanyak 20,853,681, berbanding PRU14 dengan 14,940,624.
Malah beliau berkata, ramai pengundi sanggup beratur dalam hujan dan air banjir semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.
"Ini menunjukkan pengundi termasuk golongan atas pagar mempunyai kesungguhan luar biasa untuk memilih dan memberikan mandat kepada kerajaan baharu bakal terbentuk nanti.
"Keadaan itu juga akan menyebabkan parti berasaskan kaum akan menghadapi masalah kerana pengundi atas pagar akan memilih calon daripada parti mewakili pelbagai kaum," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca