SHAH ALAM - Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggantung proses pengundian pilihan raya di dua kawasan Parlimen iaitu Baram di Sarawak dan Padang Serai di Kedah, dijangka tidak akan menangguhkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggantung proses pengundian pilihan raya di dua kawasan Parlimen iaitu Baram di Sarawak dan Padang Serai di Kedah, dijangka tidak akan menangguhkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada malam ini.

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, hal ini kerana bidang kuasa suruhanjaya itu hanya memastikan proses pelaksanaan pilihan raya berjalan lancar dengan sebarang keputusan akhir jumlah kerusi pilihan raya dimenangi parti-parti perlu dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada keesokan hari.

Ujarnya, sebarang penentuan keputusan parti mana yang menang atau layak membentuk kerajaan selepas proses PRU15 hanya termaktub di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong semata-mata.

Jelas beliau, sekiranya mana-mana parti berjaya melepasi garisan pembentukan kerajaan dengan majoriti mudah 112 kerusi Parlimen, maka sebarang keputusan pengundian semula dua kerusi Parlimen berkenaan yang terpaksa ditangguhkan sebelum ini, hanya bersifat akademik.

Proses pengundian bagi PRU15 di kawasan dilanda banjir di Parlimen Baram sebelum ini berjalan mengikut jadual walaupun beberapa pusat mengundi terpaksa dipindahkan selepas dinaiki air.


"Begitu juga dengan situasi Parlimen tergantung. Mana-mana parti yang berjaya mencapai proses rundingan membentuk kerajaan campuran dengan jumlah angka kerusi Parlimen diyakini Yang di-Pertuan Agong selepas malam ini, maka implikasi keputusan PRU15 akan kekal terpakai.

"Tiada keperluan SPR menggantung keputusan PRU15 secara keseluruhannya kerana hanya dua kawasan Parlimen sahaja yang terpaksa digantung proses pengundian akibat sebab-sebab tidak dapat dielakkan," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Beliau berkata demikian susulan SPR memutuskan untuk menggantung pengundian di 11 pusat mengundi di Parlimen Baram susulan keadaan cuaca tidak baik, selain menyebabkan petugas tidak dapat sampai ke lokasi mereka ditugaskan.

Berikutan itu, SPR dalam satu kenyataan menjelaskan satu tarikh baharu pengundian bagi pusat mengundi dan tempat mengundi (saluran) akan dimaklumkan kelak setelah keadaan selamat untuk petugas dan pengundi sampai ke pusat pengundian bagi mengundi.

Parlimen Baram menyaksikan saingan antara bekas penyandang Anyi Ngau mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), Roland Engan (Pakatan Harapan) dan Wilfred Entika Rebai (bebas).

M KARUPAIYA

Terdahulu, Parlimen Padang Serai turut ditangguhkan hari pengundian oleh SPR pada 7 Disember hadapan.

Hal ini susulan bekas penyandang dan calon kerusi Parlimen itu bagi PH, mendiang M Karupaiya, 69, meninggal dunia di Hospital Kulim pada 16 November lalu, dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.

Dalam pada itu, Wan Ahmad turut mengakui dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memakai rompi memaparkan logo parti ketika berada di tempat mengundi di Marang pagi tadi, sebenarnya boleh diklasifikasikan sebagai satu kesalahan pilihan raya.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang (tengah) yang juga calon Parlimen Marang melambai tangan kepada media semasa hadir di Sekolah Kebangsaan Rusila untuk mengundi bagi PRU15 hari ini.

Tegasnya, Abdul Hadi kini berisiko untuk dikenakan petisyen mahkamah oleh mana-mana pihak termasuk calon parti lawan sekiranya pihak tertentu membuat laporan polis dan mengemukakan bukti tuduhan mencukupi untuk dipertimbangkan mahkamah.

"Bagaimanapun, petisyen bantahan terhadap Abdul Hadi di mahkamah hanya relevan sekiranya beliau kekal memenangi kerusi ditandingi.

"Dalam kes ini, Abdul Hadi dan SPR sendiri bakal menjadi defendan terhadap bantahan dikemukakan mana-mana plaintif susulan faktor kecuaian juga dikenal pasti melibatkan ketua tempat mengundi suruhanjaya itu yang tidak menghalang Abdul Hadi memasuki kawasan pengundian," kata Wan Ahmad.

Sama ada Abdul Hadi berkemungkinan terlucut status kemenangannya di kerusi Parlimen ditandingi sekiranya beliau menang kelak, Wan Ahmad menegaskan ia terserah kepada hakim mahkamah untuk memutuskannya.

"Walaupun terkandung sebagai satu kesalahan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di bawah Peraturan Perjalanan Pilihanraya 1981, kes Abdul Hadi tidaklah dianggap terlalu serius jika dibandingkan dengan kes kesilapan proses pengiraan undi calon atau penipuan proses pengundian.

"Bagaimanapun, sekiranya beliau dijatuhkan hukuman denda oleh hakim dengan nilai melebihi RM2,000 jika terbukti bersalah, maka risiko beliau perlu mengosongkan kerusi Parlimen Marang untuk memberi laluan Pilihan Raya Kecil (PRK) tetap ada," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca