SHAH ALAM - Tidak ada kesan langsung ekoran penangguhan proses mengundi di dua buah Parlimen iaitu di Padang Serai, Kedah dan Baram, Sarawak serta satu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tidak ada kesan langsung ekoran penangguhan proses mengundi di dua buah Parlimen iaitu di Padang Serai, Kedah dan Baram, Sarawak serta satu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pemerhati politik, Mohamad Zaini Jaafar berkata, tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penangguhan di Padang Serai dan Tioman ekoran kematian calon bertanding serta Parlimen Baram kerana cuaca buruk adalah satu tindakan tepat.

Malah bekas pensyarah di sebuah universiti tempatan itu berkata, penangguhan proses mengundi di tiga lokasi tersebut kepada satu tarikh lain secara dasarnya dilihat tidak memberi kesan secara langsung kepada keputusan pilihan raya kali ini.

"Mungkin ada pilihan raya kecil untuk tiga kawasan tersebut setelah SPR mengumumkan penundaan tarikh mengundi buat pemilih melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

"Meskipun begitu, keputusan SPR menangguhkan proses pengundian di tiga kawasan itu dilihat tidak akan memberi kesan keseluruhan terhadap keputusan PRU-15," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

MOHAMAD ZAINI

Mengulas lanjut, Zaini berkata, ekoran daripada penangguhan di tiga lokasi mengundi tersebut, kemungkinan pindaan majoriti mudah dari 112 kerusi kepada 114 atau 115 kerusi bagi membentuk kerajaan baharu malam ini.

Jelasnya, selama mana sesebuah gabungan parti mendapat keputusan majoriti mudah tersebut, ia sudah membolehkan sebuah kerajaan baharu dibentuk.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan berkata, secara umumnya jika melibatkan pengundian di peringkat DUN, ia dijangka tidak akan menimbulkan satu isu besar melainkan dua pengundian di peringkat Parlimen.

Katanya, berdasarkan keputusan PRU14, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencatat kemenangan dengan majoriti lebih 8,000 di Padang Serai dan ia satu keputusan agak selesa, manakala calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi PRU15, Anyi Ngau sebelum ini menang di Parlimen Baram pada PRU14.

UMMU ATIYAH

Maka menurutnya, sekiranya berdasarkan rekod dahulu, PKR akan mendapat satu kerusi Parlimen dan BN juga mendapat satu kerusi Parlimen.

Meskipun begitu katanya, keputusan tersebut belum mengambil kira Undi18 dan jumlah pengundi pertama kali memilih di peti undi.

"Situasi di Parlimen Baram agak kritikal sebab BN mencatat kemenangan dengan majoriti bawah 2,000.

"Apa-apa pun, ia bergantung kepada jajaran nanti. Jumlah kerusi yang bakal dimenangi oleh setiap jajaran tersebut.

"Oleh itu, kita tidak boleh terus mengatakan ia penentu kerana kedua-dua kerusi Parlimen ini semuanya berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi setiap jajaran," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca