SHAH ALAM - Pakar berpendapat lebih sukar memujuk Sarawak berbanding Sabah bagi menyokong mana-mana permuafakatan atau gabungan membentuk kerajaan baharu sekiranya berlaku Parlimen tergantung pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pensyarah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar berpendapat lebih sukar memujuk Sarawak berbanding Sabah bagi menyokong mana-mana permuafakatan atau gabungan membentuk kerajaan baharu sekiranya berlaku Parlimen tergantung pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, berdasarkan unjuran tiada parti akan mendapat majoriti mudah 112 kerusi Parlimen, sokongan Sarawak adalah kritikal untuk pembentukan kerajaan persekutuan yang baharu.

"Diakui Sabah dan Sarawak (blok Borneo) akan sekali lagi menjadi kuasa kingmaker bagi membentuk kerajaan persekutuan. Sarawak terutamanya negeri yang kuat dan mempunyai banyak kelebihan serta boleh menjadi penentu kelangsungan kerajaan baharu yang akan dibentuk selepas ini,” ujarnya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Namun, mengandaikan senario unjuran banyak firma penyelidikan negara yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) bakal mendapat kerusi terbanyak dalam PRU15 menjadi kenyataan, tugas getir menanti Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memujuk sokongan Bumi Kenyalang itu.

Ini berikutan parti utama negeri itu, Parti Gabungan Sarawak (GPS) dari awal lagi diketahui ‘alergik’ dengan koalisi PH yang mempunyai parti DAP.

Untuk rekod, GPS hampir pasti menguasai Sarawak selepas mendahului 22 daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam PRU15 pada Sabtu.

BUKIT MERTAJAM, 19 Nov -- Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Calon PH Parlimen P063 Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan dakwat kekal selepas mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti hari ini.-- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Setakat ini, tujuh Parlimen telah dikuasai GPS iaitu Kota Samarahan, Batang Sadong, Betong, Tanjung Manis, Igan, Mukah dan Lawas.

"Tidak kira sama ada PH berjaya mendapat majoriti mudah 112 atau terpaksa membuat gabungan dengan mana-mana koalisi parti bagi membentuk kerajaan, Anwar tetap harus cuba memenangi hati GPS.

"Walaupun tidak menyertai PH, satu bentuk akuan lisan atau juga akaun berkanun dari GPS sudah memadai sebagai tanda sokongan tidak menumbangkan koalisi tersebut sepanjang penggal Parlimen nanti, selain sokongan dalam hal-hal penting seperti belanjawan.

"Salah satu cara yang mungkin dilakukan oleh Anwar untuk memujuk mereka adalah mengurangkan orang DAP dalam kerajaan baharu kelak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Sabah pula dilihat lebih mudah ‘dipujuk’ untuk memberi sokongan berikutan ada kebergantungan kuat dengan kerajaan persekutuan.

"Boleh dikatakan, tidak kira siapa bakal membentuk permuafakatan baharu kerajaan pasca PRU15, hampir pasti mendapat sokongan daripada Negeri di Bawah Bayu itu,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca