SHAH ALAM - Nasib tidak menyebelahi calon termuda dan tertua bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini apabila mereka masing-masing tewas.
Calon termuda dari Pakatan Harapan (PH), Muhammad Syahmi Suhaimi, 23, tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang di Perlis dengan hanya meraih 1,554 undi.
DUN itu dimenangi Perikatan Nasional (PN) iaitu Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Zikri Afthar Ishak yang mendapat 5,456 undi.
Calon BN, Datuk Ismail Kassim yang juga merupakan penyandang DUN Tambun Tulang hanya meraih 2,971 undi manakala calon dari Parti Pejuang Tanah Air, Maton Din dengan 182 undi.
Dalam pada itu, seorang lagi calon wanita termuda juga berumur 23 tahun turut menerima nasib yang sama apabila tewas teruk di Parlimen Tenom sehingga hilang wang pertaruhan.
Peggy Chaw Zhi Ting yang bertanding atas tiket Bebas hanya meraih 86 undi.
Parlimen Tenom dimenangi calon Bebas, Riduan Rubin yang mengumpul 10,027 undi jauh meninggalkan calon PH, Noorita Sual (8,919); calon BN, Jamawi Jaafar (8,625) dan Ukim Buandi (Parti Warisan) 992 undi.
Bagi calon paling tua pula dari Pejuang iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, 97, status bekas Perdana Menteri dua kali tidak membuahkan sebarang hasil bahkan kalah teruk sehingga hilang wang pertaruhan di Parlimen Langkawi.
Calon PN, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang juga merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Kedah mencipta kejutan menewaskan Dr Mahathir dengan undian 25,463 undi.
Dr Mahathir selaku penyandang kerusi itu sebelum ini terpaksa berpuas hati dengan 4,566 undi sahaja.
Klik di sini untuk terus membaca