SHAH ALAM - Dua bintang politik dilabel calon Perdana Menteri masa hadapan, Khairy Jamaluddin daripada Barisan Nasional (BN) dan Nurul Izzah Anwar mewakili Pakatan Harapan (PH) tumbang mengejut di kawasan Parlimen ditandingi pada Pilihan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Dua bintang politik dilabel calon Perdana Menteri masa hadapan, Khairy Jamaluddin daripada Barisan Nasional (BN) dan Nurul Izzah Anwar mewakili Pakatan Harapan (PH) tumbang mengejut di kawasan Parlimen ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, seorang lagi tokoh muda berpotensi besar menjadi pemimpin nombor satu negara, Rafizi Ramli daripada PH terselamat daripada menjadi mangsa kejutan gelombang kebangkitan Perikatan Nasional (PN) apabila menang besar di kerusi Parlimen Pandan.

Khairy atau KJ yang sebelum ini dilantik Menteri Kesihatan, kalah kepada calon PH, R Ramanan dengan majoriti 2,693 undi di kerusi yang sinonim dikuasai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PH sejak tiga penggal lalu.

KJ yang sebelum ini menjadi penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal berturut-turut, terpaksa berpindah kerusi ke Sungai Buloh setelah kerusi asal disandangnya itu diserahkan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Khairy kemudiannya bertindak mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sepanjang kempen PRU15 kerana tidak menawarkan kerusi Parlimen alternatif kepadanya, sehingga memaksa beliau mendapatkan bantuan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar untuk bertanding di Selangor.

Selain Ramanan, KJ turut berdepan cabaran lima lagi calon iaitu Mohd Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Mohd Yusoff (Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan dua calon Bebas, Nurhaslinda Basri dan Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff.

RAFIZI

FAWWAZ JADI GIANT KILLER

Bagi Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR, kekalahan mengejut beliau kepada calon PN daripada Pas, Fawwaz Md Jan dengan majoriti 5,272 undi di kerusi Parlimen Permatang Pauh menyaksikan kerusi tradisi dimenangi dinasti Anwar itu, buat pertama kalinya terlepas dari genggaman.

Merupakan penyandang kerusi berkenaan untuk dua penggal berturut-turut, kekalahan Nurul Izzah mencacatkan sedikit rekod cemerlang pemimpin Top 5 PKR pada PRU15 apabila beliau merupakan satu-satunya Naib Presiden parti itu yang tumbang kali ini.

Selain Fawwaz, Nurul Izzah turut berhadapan dengan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Zaidi dan Cikgu Nasir daripada Pejuang dalam pertandingan empat penjuru.

Seorang lagi calon Perdana Menteri masa hadapan, Rafizi Ramli yang juga Timbalan Presiden PKR bagaimanapun tidak bermasalah untuk menang besar di Parlimen Pandan.

Beliau yang tidak bertanding pada PRU14, berjaya menewaskan cabaran calon PN, Muhammad Farique Zubir Albakri; Datuk Leong Kok Wee (BN); Tan Sri Ong Tee Keat (Warisan) dan Nadia Hanafiah (Pejuang) dengan majoriti besar 48,296 undi.

Rafizi, KJ dan Nurul Izzah merupakan antara tiga pemimpin muda popular negara yang dilabel sebagai calon Perdana Menteri masa hadapan oleh banyak badan kajian politik tempatan.

Dalam UMNO, KJ pernah memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO, manakala Nurul Izzah terkenal dengan gelaran Puteri Reformasi susulan penglibatan beliau dalam dunia politik selepas bapanya yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dimasukkan ke dalam penjara pada tahun 1999.

Klik di sini untuk terus membaca