SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyeru supaya rundingan pembentukan kerajaan campuran yang sedang digerakkan parti-parti politik utama negara ketika ini tidak dilaksana berasaskan pengagihan jawatan termasuk dalam syarikat GLC.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh berkata, perkara tersebut adalah penting bagi pembinaan sebuah kerajaan stabil apabila Parlimen dilihat masih tergantung ekoran tiada parti atau gabungan parti yang berjaya memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Katanya, ketika gabungan-gabungan parti sedang berunding sesama sendiri untuk membentuk kerajaan persekutuan, IDEAS menggesa agar rundingan itu dilakukan berasaskan dasar dan bukannya pengagihan pelantikan bersifat naungan.
Menurutnya, menerusi satu pakatan gabungan parti politik, perkara-perkara utama seperti kedudukan kabinet, pengerusi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun dijangka diagihkan sebagai satu bentuk ganjaran kepada seramai mungkin wakil-wakil kanan parti.
"Untuk itu, IDEAS menggalakkan parti-parti politik untuk berunding berdasarkan kepada undang-undang dan dasar yang amat diperlukan untuk menangani kedua-dua pembaharuan ekonomi dan institusi pada masa hadapan.
"Membentuk kerajaan campuran adalah agenda paling penting dalam beberapa hari mendatang, maka kita sebagai rakyat perlu berwaspada terhadap penyalah gunaan politik wang dalam proses ini dan parti-parti yang lebih kecil harus bijak menggunakan kedudukan serta kuasa penentu mereka.
"Malah undang-undang penting seperti Akta Pendanaan Politik, Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan, Akta Perkhidmatan Parlimen, Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan adalah lebih mendesak berbanding sebelum ini.
"Maka kami di IDEAS menanti untuk melihat parti-parti politik menyatakan pendirian mereka terhadap semua perundangan ini yang benar-benar boleh mengubah pentadbiran negara ke arah lebih baik," katanya pada Ahad.
Sementara itu, Tricia berkata, IDEAS bagaimanapun memuji sebahagian besar mesej antirasuah yang diberikan ketika kempen PRU-15.
Jelas sekali katanya, para pengundi di Malaysia sudah letih dengan budaya rasuah yang tertanam dalam pentadbiran dan ekosistem pentadbiran negara.
Malah kerana itu menurutnya, pengundi Melayu khususnya telah memilih untuk menyatakan pendirian dalam isu rasuah dengan beralih kepada Perikatan Nasional (PN) sebagai satu gabungan alternatif.
Tambahnya, sekiranya rakyat mahu melihat pemulihan semula kadar pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara, satu tindakan menangani tadbir urus yang baik perlu menjadi keutamaan segera oleh kerajaan baharu.
"IDEAS menantikan untuk melihat perancangan kukuh berikutan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang akan tamat tempohnya pada tahun 2023.
"Jelas sekali, bipartisan dalam mana-mana kerajaan akan datang perlu memastikan hasil yang paling optimum apabila memperjuangkan tadbir urus yang baik, antirasuah dan pembaharuan institusi," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca