MASA depan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kini menjadi tanda tanya apabila parti itu bukan sahaja gagal memenangi sebarang kerusi bahkan ramai calonnya hilang wang deposit.
Malah, lebih malang jeneral Pejuang yang juga diberikan gelaran negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pada awalnya dijangka bakal menang di Parlimen Langkawi turut ditumbangkan calon Perikatan Nasional (PN).
Lebih mengejutkan, Dr Mahathir turut hilang wang deposit sekali gus boleh dianggap keputusan PTU terburuk dalam sejarah negarawan tersebut bertanding pilihan raya sejak tahun 1964.
Dalam 10 kali PRU yang pernah ditandingi Dr Mahathir sebelum itu, beliau pernah tewas pada tahun 1969 kepada calon Pas, Yusof Rawa tetapi dengan majoriti tipis 989 undi.
Bagaimanapun, pada PRU12, Dr Mahathir dimalukan pencabar-pencabarnya daripada PN, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) apabila berada ditempat kedua tercorot dengan memperoleh 4,566 undi.
Calon PN, Mohd Suhaimi Abdullah menang kerusi itu dengan mendapat 25,463 undi.
Lebih menyedihkan, panglima kanan yang Pejuang yang juga anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut gagal mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun selepas tewas kepada calon PN, Dr Abd Ghani Ahmad.
Mukhriz turut hilang deposit apabila hanya mendapat 3,144 undi berbanding Abd Ghani yang memiliki 31,685 undi.
Selain itu, Timbalan Pengerusi GTA, Datuk Marzuki Yahya gagal merampas kerusi Sungai Petani daripada PH.
Kesemua situasi getir tersebut menimbulkan persoalan sama ada Pejuang dan GTA bakal meneruskan perjuangan mereka, atau akan berkubur dan bergabung dengan parti Melayu lain seperti mana yang pernah berlaku kepada Semangat 46.
Pensyarah Kanan, Pusat Latihan Intern dan Pengayaan Akademik (CITrA) Universiti Malaya (UM), Dr. Muhammad Shamshinor Abdul Azzis berkata, antara isu menyebabkan Pejuang ditolak kerana aspirasi politik yang tidak jelas, menyebabkan masyarakat seakan tidak boleh membaca arah mana yang hendak dibawa oleh Dr Mahathir.
Katanya, memang benar Pejuang mengutarakan agenda baharu Malaysia dengan pelbagai perancangan mahu dilaksanakan dan tampak bagus kerana tidak menjanjikan bulan serta bintang, namun 'road map' atau peta perjalanannya masih kabur.
"Permasalahan lain yang mungkin dihadapi Pejuang adalah melibatkan jentera parti yang gagal menonjolkan bahan-bahan kempen termasuk daripada aspek bendera dan poster yang amat sedikit.
"Memang ada bendera dan poster yang dinaikkan di seluruh negara, tetapi sangat sikit sekiranya hendak dibandingkan dengan parti-parti daripada tiga blok yang lain.
"Sekiranya sudah mengenal pasti jentera parti yang sedikit, seharusnya Pejuang menguatkan kempen di platform media sosial dengan lebih aktif. Malah perkara ini pun jarang-jarang kita nampak daripada Pejuang.
"Oleh yang demikian, situasi tersebut menunjukkan kelemahan atau kurang koordinasi pada jentera parti Pejuang, sekali gus memberi impak kurang baik kepada masyarakat untuk memilih Pejuang pada PRU-15 ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Mengulas lanjut, Muhammad Shamshinor berkata, masalah lain menjadikan Pejuang kurang gah kerana tidak menganggotai mana-mana blok gabungan parti yang kuat.
Menurutnya, sebagai sebuah parti baharu dan kecil, Pejuang seharusnya bergabung dengan mana-mana parti yang dilihat lebih besar pengaruhnya.
Katanya, analogi mudah kepada situasi Pejuang adalah seumpama seekor kelip-kelip yang berada keseorangan, maka sukar untuk bersinar dan menggamit perhatian orang ramai.
Jelasnya, sekiranya seekor kelip-kelip berada bersama blok yang kuat atau bersama kumpulan kelip-kelip yang lebih besar, maka barulah ia mampu bersinar dengan lebih jelas dan kelihatan di mata orang ramai.
Selain PRU15, Pejuang juga kalah teruk pada PRN Johor apabila kesemua 42 calonnya bukan sahaja kalah malah hilang wang deposit.
Klik di sini untuk terus membaca