PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu, menyaksikan berlakunya satu tsunami 'biru tua' dan 'hijau' membadai negara. Hal ini susulan parti Perikatan Nasional (PN) mencipta kejutan dengan memenangi sejumlah 73 kerusi... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu, menyaksikan berlakunya satu tsunami 'biru tua' dan 'hijau' membadai negara.

Hal ini susulan parti Perikatan Nasional (PN) mencipta kejutan dengan memenangi sejumlah 73 kerusi daripada 222 Parlimen.

Meskipun Pakatan Harapan (PH) menjadi blok pakatan parti terbesar dengan 82 kerusi Parlimen, namun majoriti daripada keseluruhan 71 peratus pengundi pada PRU kali ini memberi isyarat jelas kepada ahli politik.

Kelompok majoriti pengundi muda dan kaum Melayu kali ini, menolak sepenuhnya tokoh-tokoh 'dinosaur' terlalu lama berpolitik, warlords menguasai parti, pemimpin terpalit isu mahkamah dan ahli politik dilabel 'pengkhianat' serta mencetuskan ketidakstabilan politik sejak peristiwa Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Berdasarkan analisis Sinar Premium, sejumlah 32 nama besar pemimpin politik negara di pelbagai parti yang dikenal pasti menjadi mangsa amukan giant killer pada PRU15 kali ini.

Mendahului senarai pastinya 'tokoh dinosaur' seperti bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad, 97, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan bekas Menteri Kewangan, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, 87, mewakili BN.Pernah menjadi Perdana Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah politik negara, kekalahan Dr Mahathir dan Pejuang pada PRU15, sudah dijangka apabila hanya berada di tempat keempat dalam pertandingan lima penjuru Parlimen Langkawi.

Kerusi 'panas' Langkawi itu kemudian dimenangi calon PN, Mohd Suhaimi Abdullah yang mendapat majoriti 13,518 undi.

Nasib malang Dr Mahathir turut dialami bekas seteru politiknya, Tengku Razaleigh atau Ku Li.

Mencatat sejarah sebagai ahli Parlimen paling lama berkhidmat selama 48 tahun, dominasi Ku Li di Parlimen Gua Musang (dulu dikenali Ulu Kelantan) ditamatkan calon PN, Datuk Mohd Azizi Abu Naim dengan majoriti, 163 undi.

Selain itu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut menjadi korban 'penyembelih naga' pada PRU15.Bekas Menteri Besar Kedah itu hilang deposit sebagai calon di Parlimen Jerlun dengan hanya memperoleh 3,144 undi.

Seterusnya, pentas PRU15 menjadi medan pengundi menolak calon warlords dalam BN seperti Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap); Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran (Sungai Siput); dan Timbalan Presiden MIC, Datuk M Saravanan (Tapah);

Turut tersungkur ialah bekas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai (Bentong); bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya); bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas) dan bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (Baling).Beberapa bekas menteri besar seperti Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir masing-masing di Perak serta Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu) turut tumbang.

Beberapa bekas menteri dan timbalan menteri kerajaan PH, PN dan Keluarga Malaysia yang dianggap tidak memberikan perkhidmatan memuaskan tersingkir.Bekas Menteri Pembangunan Keluarga dan Wanita, Datuk Seri Rina Harun (PN) tumbang di kerusi Parlimen Sepang kepada calon PH, Aiman Athirah.

Tidak ketinggalan, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (PKR-PH) tewas di tangan Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad di Parlimen Simpang Renggam.

Calon heavyweight seterusnya yang tumbang ialah pemimpin utama Parti Amanah Negara (Amanah) seperti bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad (Titiwangsa); bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof (Parit Buntar); Naib Presiden parti, Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Setiausaha Agung parti, Datuk Dr Hatta Ramli (Lumut).

Bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Baharu) mendahului senarai 'otai' tewas, diikuti bekas Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (Bagan Datuk); dan bekas Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh (Kuantan).

Di kerusi lain, bekas pemimpin PKR dilabel 'pengkhianat PH' dan pencetus peristiwa Langkah Sheraton turut ditolak.

Barisan pemimpin itu diketuai bekas Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang gagal mempertahankan kerusi Gombak; Presiden designated Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang); bekas Timbalan Speaker Parlimen, Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat) dan bekas Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaafar (Bandar Tun Razak).

Di Sabah, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Maximus Ongkili terpaksa akur melepaskan Parlimen Kota Marudu selepas menyandangnya selama 27 tahun, manakala Timbalan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Darell Leiking tumpas kepada calon PH, Datuk Ewon Benedict di Penampang.

Kalah mengejut

Sinar Premium turut mengenal pasti beberapa bintang politik masa hadapan negara, namun tewas mengejut kali ini.

Ismail Sabri dan Khairy Jamaluddin pada Program Ramah Mesra bersama Perdana Menteri dan Calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh di Uptown Damansara baru-baru ini - Foto Bernama


Memenuhi kriteria sebagai calon perdana menteri masa hadapan, karisma dan kualiti kepimpinan bekas Menteri Kesihatan daripada BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Puteri Reformasi PKR, Nurul Izzah Anwar; bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil bagaimanapun tidak cukup untuk menambat hati pengundi.

Terakhir, Sinar Premium mengenal pasti dua ketua pemuda berpengaruh dalam UMNO dan MCA tersungkur di tangan lawan.

Percaturan pucuk pimpinan BN meletakkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di kerusi Gerik tidak menjadi apabila beliau kalah untuk kali ketiga.

SENARAI CALON HEAVYWEIGHT TUMBANG PADA PRU15

1) Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi)

2) Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (BN - Gua Musang)

3) Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN - Sungai Buloh)

4) Nurul Izzah Anwar (PH - Permatang Pauh)

5) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (PN - Tambun)

6) Dr Maszlee Malik (PH - Simpang Renggam)

7) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (BN - Kuala Selangor)

8) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN - Gombak)

9) Datuk Zuraida Kamaruddin (PBM - Ampang)

10) Shahril Sufian Hamdan (BN - Alor Gajah)

11) Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang -Jerlun)

12) Datuk Seri Rina Harun (PN - Sepang)

13) Khalid Samad (PH - Titiwangsa)

14) Datuk Seri Liow Tiong Lai (BN - Bentong)

15) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN - Putrajaya)

16) Datuk Seri Mujahid Yusof (PH - Parit Buntar)

17) Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN - Padang Terap)

18) Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN - Baling)

19) Isham Jalil (BN - Shah Alam)

20) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN - Kepala Batas)

21) Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH - Bagan Datuk)

22) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH - Kulim-Bandar Baharu)

23) Datuk Fuziah Salleh (PH - Kuantan)

24) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (BN - Gerik)

25) Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (BN - Lumut)

26) Datuk Dr Hatta Ramli (PH - Lumut)

27) Datuk Mahfuz Omar (PH - Pokok Sena)

28) Datuk Seri Ahmad Said (BN - Kemaman)

29) Datuk Rashid Hasnon (PN - Batu Pahat)

30) Datuk Kamaruddin Jaafar (PN - Bandar Tun Razak)

31) Tan Sri S A Vigneswaran (BN - Sungai Siput)

32) Nicole Wong (BN - Tebrau)

33) Datuk Seri Maximus Ongkili (PBS - Kota Marudu)

34) Datuk Darell Leiking (Warisan - Penampang)

Klik di sini untuk terus membaca