JAKARTA - Indonesia di bawah pemerintahan Presiden Ketujuh, Joko Widodo atau Jokowi sedang memperkasakan kekuatan Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) ketika ancaman di rantau Asia Pasifik semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.
Hal itu dapat dilihat menerusi pengumuman yang dibuat oleh Kementerian Pertahanan Perancis pada Februari lalu mengenai perjanjian yang dimeterai bersama negara itu yang akan menyaksikan Jakarta membeli 42 buah jet pejuang, Rafale buatan syarikat Dassault Aviation di Paris.
Perjanjian itu dianggarkan melibatkan kos perbelanjaan sebanyak AS$8.1 bilion (RM36.89 bilion) dan disusuli beberapa perjanjian berasingan termasuk pembangunan kapal selam dan peluru.
Indonesia kini menjadi salah satu pembeli senjata terbesar Perancis di rantau Indo-Pasifik.
Ini adalah kerana Presiden Perancis, Emmanuel Macron dilaporkan meningkatkan kerjasama yang menggalakkan dengan Jakarta melibatkan pesawat-pesawat perang hingga kapal selam.
Macron mendedahkan pengukuhan kerjasama itu semasa beliau berada di Thailand untuk menghadiri Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Perjanjian
Presiden Perancis itu merujuk kepada siri perjanjian pembelian senjata yang dibuat antara Paris dan Jakarta pada awal tahun lalu.
Indonesia juga akan mendapatkan dua buah kapal selam kelas Scorpene.
Kapal selam berkuasa diesel-elektrik itu dibangunkan bersama oleh Kumpulan Tentera Laut Perancis dan syarikat Sepanyol iaitu Navantia.
Perjanjian lain yang ditandatangani oleh kedua-dua negara ialah perolehan satelit dan pengeluaran peluru.
Kontrak tersebut juga menjadikan Indonesia sebagai pembeli terbesar senjata Perancis di Asia Tenggara.
Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan bahawa pada peringkat pertama, Jakarta akan memperoleh enam unit jet Rafale tetapi untuk pembelian kapal selam, ia akan dibicarakan dengan lebih lanjut.
Kedua-dua negara juga menekankan tentang sejumlah perjanjian persefahaman melibatkan kerja sama antara Dassault dengan PT Dirgantara Indonesia.
Ini adalah untuk perbaikan dan membaik-pulih pesawat-pesawat perang Perancis di Indonesia termasuk Rafale dan helikopter Caracal.
Helikopter Caracal yang canggih itu dibeli oleh Perancis untuk tenteranya daripada syarikat Airbus.
Ia dilengkapi dua enjin dan digunakan untuk mengangkut anggota tentera dan terlibat operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Tragedi
Pada April tahun lalu, Indonesia berdepan tragedi menggemparkan melibatkan kapal selam milik tentera laut negara itu.
Kejadian itu melibatkan kapal selam, KRI Nanggala 402 yang dipercayai berkecai di dasar laut perairan Bali dan turut meragut nyawa kesemua 53 kru.
Kapal selam berkuasa diesel elektrik buatan Jerman Barat yang ditempah oleh negara itu pada 1970-an dan mula berkhidmat pada awal 1980-an sudah berusia hampir 40 tahun dan masih digunakan sehinggalah ia karam ketika menyertai latihan penembakan torpedo.
Tragedi kapal selam itu karam adalah yang pertama kali berlaku dalam sejarah Indonesia.
Insiden kapal selam KRI Nanggala 402 itu mendedahkan beberapa realiti sukar yang dihadapi tentera Indonesia khususnya pasukan pertahanan maritimnya.
Jakarta turut mempunyai lima buah kapal selam yang digunakan untuk memastikan keselamatan maritim di kawasan perairan negara itu yang berkeluasan 3.2 juta kilometer (km).
Susulan tragedi itu, terdapat empat sahaja kapal selam Indonesia yang beroperasi sedangkan ia memerlukan 12 kapal selam berikutan kawasan maritimnya yang luas.
Jakarta telah menggunakan kapal selam sejak 1950-an lagi.
Namun, insiden itu juga membangkitkan persoalan tentang peralatan ketenteraan yang digunakan oleh negara tersebut yang sudah terlalu usang untuk mempertahankan keselamatan wilayahnya.
Modenisasi
Selain KRI Nanggala 402, Indonesia turut mempunyai kapal selam KRI Nagapasa 403 buatan Korea Selatan yang tiba dari negara tersebut pada 2017.
Ia juga memiliki kapal selam buatan tempatan, KRI Alugoro 405 iaitu yang pertama dibina di Asia Tenggara.
Dengan pemilikan kapal selam Scorpene itu pada masa depan, ia akan turut mempunyai kapal selam buatan Perancis yang pernah dimiliki oleh Malaysia.
Jet tempur Rafael pula dilengkapi dengan dua enjin dan boleh digunakan untuk serangan antinuklear dan serangan antikapal dengan kelajuan maksimumnya ialah 2,222km sejam.
Ia mempunyai kelebihan yang tersendiri berbanding dengan jet tempur canggih, F-16 buatan Amerika Syarikat (AS) yang pengeluarannya bermula sejak 1970-an.
Namun, kontrak baharu Indonesia untuk mendapatkan peralatan ketenteraan dari Perancis itu menunjukkan Jakarta serius dalam usaha untuk memodenkan pasukan pertahanan negaranya sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang ancaman. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca