SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) kini muncul ‘king maker’ dalam membentuk jajaran kerajaan baharu meskipun hanya memenangi 30 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu. Ia berikutan tanpa sokongan daripada BN,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) kini muncul ‘king maker’ dalam membentuk jajaran kerajaan baharu meskipun hanya memenangi 30 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.

Ia berikutan tanpa sokongan daripada BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang masing-masing memperoleh kerusi terbanyak dan kedua terbanyak gagal membentuk kerajaan baharu biarpun mendapat sokongan parti-parti lain.

PH yang memenangi 82 kerusi masih perlu memilih untuk bekerjasama dengan parti lain dan dalam kes ini, Barisan Nasional (BN) yang memenangi 30 kerusi, atau Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22 kerusi), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Parti Warisan (Warisan) (tiga), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (satu), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) (satu) selain dua kerusi menerusi dua calon Bebas.

Jumlah ini jika dicampur akan mencecah 147 kerusi sekaligus melebihi majoriti mudah 112 yang diperlukan untuk membentuk kerajaan, namun jajaran ini sukar dilaksanakan jika diambil kira kedudukan GPS yang mempunyai sejarah hubungan kurang baik dengan DAP ketika PH memerintah dahulu.

GRS dan Warisan juga dikatakan lebih cenderung untuk menyokong PN berbanding PH sekali gus menyebabkan PH tiada pilihan lain selain bergantung sepenuhnya kepada sokongan ahli-ahli parlimen BN untuk membentuk kerajaan.

PN yang melakukan kejutan dengan memenangi 73 kerusi pula walaupun disokong parti-parti sehaluan daripada GPS, GRS, Warisan, PBM, KDM dan dua calon Bebas, parti itu masih kekurangan empat kerusi untuk mencapai angka keramat 112.

Oleh kerana itu, PN masih memerlukan sokongan BN untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Kemungkinan PH dan PN bekerjasama membentuk kerajaan juga dikatakan agak mustahil ekoran kedua-duanya adalah parti besar selain Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin merupakan calon Perdana Menteri.

Seteru antara Pas dan DAP serta Amanah juga menyukarkan lagi usaha kerjasama ini.

Oleh itu, PH dan PN tiada pilihan selain mendapatkan kerjasama BN untuk membentuk kerajaan baharu.

Persoalannya kini, parti manakah yang lebih menarik minat BN untuk bekerjasama, PH atau PN?

Bagaimanapun, beberapa pemimpin BN antaranya Bendaharinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengeluarkan kenyataan menolak jajaran dengan PH.

Selain itu, timbul juga tanda tanya siapakah yang berkuasa dalam BN untuk mengambil keputusan menetapkan jajaran baharu berkenaan.

Klik di sini untuk terus membaca