KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) hampir pasti dapat menubuhkan kerajaan Persekutuan berdasarkan sokongan parti-parti yang sehaluan dengan gabungan berkenaan. PN yang memenangi 73 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) hampir pasti dapat menubuhkan kerajaan Persekutuan berdasarkan sokongan parti-parti yang sehaluan dengan gabungan berkenaan.

PN yang memenangi 73 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memerlukan sokongan 39 ahli Parlimen lagi bagi mendapatkan majoriti mudah.

Walaupun Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi Parlimen, namun parti-parti lain terutama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat lebih cenderung untuk bersama PN.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad juga mendakwa sudah memiliki jumlah sokongan mencukupi bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu, keyakinan tersebut bersandarkan kesediaan ahli Parlimen daripada GPS, GRS dan beberapa ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

"Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada petang ini (Ahad). Saya melaporkan kepada MT PN bahawa saya telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pagi tadi (Ahad) berhubung pembentukan kerajaan Persekutuan selepas PRU15.

"Beliau telah memaklumkan kesediaan ahli-ahli Dewan Rakyat GPS memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Muhyiddin berkata, beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor yang turut menyatakan kesediaan ahli-ahli Dewan Rakyat GRS untuk memberi sokongan kepadanya sebagai Perdana Menteri.

"Beberapa orang ahli Dewan Rakyat lain juga telah memberikan komitmen yang sama.

"Sebagai Pengerusi PN, saya berkeyakinan akan memperolehi bilangan sokongan mencukupi daripada ahli-ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sepertimana dikehendaki Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pada awal pagi Ahad, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, tiada mana-mana parti politik memperoleh majoriti 50 peratus daripada 220 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada PRU15 untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, sehingga petang Ahad, Barisan Nasional (BN) yang memenangi 30 kerusi belum menyatakan sebarang pendirian sama ada akan bersama PN untuk membentuk kerajaan, atau sebaliknya.

Sementara itu, di KUCHING, Abang Johari berkata, keputusan membentuk kerajaan bersama PN dicapai untuk menstabilkan negara selain memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.

Abang Johari mempamerkan kenyataan media berkenaan kerajaan campuran dengan Perikatan Nasional kepada wartawan pada sidang media khas pada Ahad.

Beliau berkata, ia juga bagi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin, sekali gus ekonomi negara terpelihara.

"Disebabkan itu, sebuah kerajaan yang stabil dan kuat haruslah dibentuk dengan kadar segera.

"Dengan itu, kita mengambil keputusan bergabung dengan PN, BN dan GPS bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang stabil dan kukuh demi rakyat,” katanya pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini pada Ahad.

Klik di sini untuk terus membaca