SHAH ALAM - Kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan hanya memenangi 30 kerusi Parlimen menimbulkan persoalan, adakah keangkuhan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden parti menjadi punca... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan hanya memenangi 30 kerusi Parlimen menimbulkan persoalan, adakah keangkuhan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden parti menjadi punca koalisi politik itu hampir dikuburkan.

Menyingkap kembali perjalanan sebelum berdepan PRU15, Ahmad Zahid yang berdepan dengan 47 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersabit kes Yayasan Akalbudi, telah melakukan pelbagai tindakan sehingga memberi tekanan yang tinggi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO.

Antara tindakan jelas yang dilakukan Ahmad Zahid bersama ahli Parlimen daripada UMNO yang menyokongnya adalah mendesak Parlimen dibubarkan secepat mungkin, di kala Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memberi amaran bahawa negara bakal dilanda Monsun Timur Laut bermula pertengahan November tahun ini.

Selain itu, naratif ‘satu undi BN, satu undi untuk Ahmad Zahid jadi Perdana Menteri’ juga menjadi senjata ampuh buat parti lawan sehingga menimbulkan semangat rakyat untuk menolak BN.

Tindakan itu menggambarkan pemimpin BN dan UMNO hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesusahan rakyat pada ketika ini.

Dan sudah tentu tempiasnya turut dirasai oleh Ismail Sabri dan juga ahli Parlimen daripada UMNO yang tidak menyebelahi Ahmad Zahid.

Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar berpandangan, kepimpinan BN diketuai Ahmad Zahid juga membuat perkiraan salah kerana menyangkakan momentum kemenangan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor akan berterusan pada PRU15.

Bagaimanapun Hisommudin berkata, apa yang berlaku adalah sebaliknya di mana BN hanya menang 30 kerusi daripada 220 kerusi dipertandingkan pada PRU15 kerana pelbagai kelemahan mereka sendiri.

Bahkan kata Hisommudin, meletakkan calon muka baharu dan menggugurkan orang lama termasuk 10 nama besar atau panglima perang UMNO kerana faktor tidak ‘sebulu’ dengan Presiden UMNO atau pemimpin pro Ismail Sabri adalah antara punca gabungan itu gagal mempertahankan kerusi dimenangi pada PRU14 lalu.

Antara nama besar yang digugurkan Ahmad Zahid termasuklah Tan Sri Noh Omar (Pengerusi BN Selangor dan penyandang Parlimen Tanjong Karang); Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau); Tan Sri Annuar Musa (Ketereh); Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran) dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak).

"Tindakan Ahmad Zahid menggugurkan ‘warlord’ itu menyebabkan berlakunya tindak balas negatif yang mengakibatkan jentera BN sendiri menarik diri daripada kempen PRU15 secara besar-besaran sehingga sebahagian kerusi Parlimen berkenaan jatuh kepada Perikatan Nasional (PN) biarpun sebelumnya ia adalah kubu kuat BN yang tidak pernah tewas termasuk pada PRU14 lalu.

Annuar (kiri) dan Shahidan antara nama besar yang tidak dicalonkan pada PRU15.

"Sebagai contoh kerusi Parlimen Tanjong Karang, Ketereh dan Arau memang tidak sepatutnya terlepas ke tangan parti lawan tetapi akhirnya jatuh kerana tindak balas atau protes dalaman UMNO sendiri, sekali gus mematikan peluang BN,” kata Hisommudin kepada Sinar Premium.

Hisommudin menambah, faktor lain yang menyumbang kepada kekalahan BN adalah Ahmad Zahid menggunakan kuasa vetonya selaku presiden dengan meletakkan muka baharu bertanding sebagai calon di sesuatu kawasan seperti Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bertanding di Gerik, tanpa berunding dengan pemimpin setempat.

Malah katanya, pemimpin setempat seperti Noh juga melahirkan rasa terkilan dengan tindakan Ahmad Zahid yang meletakkan muka baharu bertanding di Tanjong Karang tanpa terlebih dahulu berunding dengannya selaku Pengerusi BN Selangor dan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang.

Justeru katanya, tidak hairan berlaku tindak balas atau pemberontakan daripada jentera kempen BN di peringkat akar umbi sehingga calon yang dipilih telah diboikot.

Selain itu Hisommudin berkata, memandang rendah ‘otai’ UMNO yang digugurkan dan menyertai parti lawan PN seperti Shahidan dan Ismail juga antara faktor menyumbang kepada kekalahan BN.

Keputusan PRU15 pada Sabtu menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mendahului kiraan selepas menang 82 kerusi Parlimen, diikuti PN (73 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22 kerusi; Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Warisan (enam) dan lain-lain (tiga).

Keputusan itu juga menyebabkan kerajaan Persekutuan kini tergantung sementara menunggu rundingan dibuat dalam kalangan parti politik bagi membentuk jajaran politik baharu.

Kekalahan teruk BN di peringkat Parlimen juga berjangkit di tiga negeri iaitu Perlis yang menyaksikan tiada langsung kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi bahkan di Perak dan Pahang juga menyaksikan terjadinya situasi DUN tergantung.

Di Pahang, BN menang 16 kerusi diikuti PN menang 17 kerusi manakala PH lapan kerusi.

Kerusi DUN Tioman ditangguhkan susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli yang meninggal dunia jam 3.30 pagi Jumaat ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.

DUN Perak pula tergantung susulan BN hanya menang sembilan kerusi; PN (26) dan PH (24).

"Apabila BN kalah teruk dalam ‘peperangan’ PRU15 yang dirancang oleh mereka sendiri, maka selaku panglima perang, Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab melepaskan semua jawatannya serta-merta tanpa perlu ada desakan daripada pemimpin lain atau akar umbi parti.

"Tindakan itu perlu dibuat secepat mungkin sebagai tanda bertanggungjawab terhadap keputusannya mahu mengadakan PRU15 semasa musim tengkujuh dan telah menyebabkan parti pimpinannya mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah,” jelasnya.

Hisommudin menambah, BN juga dinilai sudah mengalami kekalahan awal dari segi persiapan jentera fizikal dan kempen di media sosial bagi menambat hati 10.68 juta pengundi golongan Y dan Z, berumur lingkungan 18 hingga 39 tahun.

"Saya melihat BN tidak mempunyai persediaan langsung untuk menghadapi kempen menerusi media sosial terutama TikTok dan Facebook secara agresif seperti mana dibuat oleh dua seterunya iaitu PN dan PH.

"Itu adalah kesilapan mereka dan BN perlu menerima hakikat bahawa kekalahan ini adalah berpunca daripada rancangan mereka mahu mengadakan PRU15 yang tidak kemas,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca