KEHANGATAN kejohanan Piala Dunia 2022 di Qatar seakan-akan tidak dirasai oleh 32 juta rakyat Malaysia meskipun perlawanan pembukaan di antara Qatar selaku tuan rumah dengan pasukan Ecuador sudah berlangsung malam Ahad. Semua ini gara-gara... Klik di sini untuk terus membaca

KEHANGATAN kejohanan Piala Dunia 2022 di Qatar seakan-akan tidak dirasai oleh 32 juta rakyat Malaysia meskipun perlawanan pembukaan di antara Qatar selaku tuan rumah dengan pasukan Ecuador sudah berlangsung malam Ahad.

Semua ini gara-gara dua pasukan 'bola sepak politik' yang mempunyai bilangan kemenangan kerusi Parlimen terbanyak di Malaysia iaitu Pakatan Harapan (82 kerusi) dan Perikatan Nasional (73 kerusi), sedang berusaha menyumbat gol terakhir bagi memenangi trofi kejuaraan ke Putrajaya.

Pada saat berlangsungnya waktu kecederaan, ternyata BN menjadi 'pengadil perlawanan' apabila sebarang keputusan dibuat koalisi itu pastinya mempengaruhi peluang Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pun Pengerusi PN, Tan Sri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri ke-10.

Memandangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diibaratkan sebagai kejohanan Piala Dunia demokrasi negara tidak memuktamadkan sebarang pemenang, perlumbaan PH atau PN untuk mengetuai pembentukan sebuah kerajaan campuran semakin sengit.

JALAN BUNTU

Sehingga Isnin, polemik pembentukan kerajaan campuran daripada mana-mana koalisi dilihat menemui jalan buntu.

Semua ini berpunca daripada tindak-tanduk Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masih tidak memberikan sebarang kata putus sama ada koalisi ditunjangi UMNO, MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu akan menyokong PH atau PN dalam membentuk kerajaan baharu.

Setakat ini, Muhyiddin sudah mengesahkan koalisi itu mendapat sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebanyak 20 ahli Parlimen, enam ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selain mendakwa menerima persetujuan 30 ahli Parlimen BN untuk memilih PN mengetuai kerajaan campuran baharu pasca PRU15.

Pertemuan antara Muhyiddin, Abdul Hadi dan Abang Johari yang dimuat naik menerusi media sosial Pengerusi PN itu pada Ahad.

Begitu juga dengan Anwar yang mengulangi kenyataan beliau mempunyai angka sokongan majoriti mencukupi bagi membentuk kerajaan campuran baharu menjelang 2 petang ini.

Bagaimanapun, kenyataan Muhyiddin disangkal sepenuhnya Ahmad Zahid yang mendakwa tiada perbincangan di antara PN dan GPS dengan BN dibuat selepas keputusan PRU15 pada Sabtu.

AMARAN ZAHID

Lebih mengejutkan, dalam satu kenyataan media, Ahmad Zahid turut memberi amaran kepada 30 ahli Parlimen BN bahawa mereka sudah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepadanya untuk menentukan sebarang kerjasama bagi menubuhkan kerajaan.

Kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberi petanda jelas bahawa dakwaan calon-calon PRU15 BN perlu menandatangani surat akujanji khas bagi memberi kuasa kepadanya untuk menentukan hala tuju UMNO selepas PRU bukan satu fitnah.

Perkara itu turut disahkan oleh seorang calon BN yang bertanding di satu kerusi Parlimen di Johor yang menegaskan beliau memang ada menandatangani surat aku janji berkenaan sebelum menerima surat watikah pelantikan sebagai calon PRU15.

Anwar

"Lebih kurang begitu (perjanjian kebenaran Pengerusi BN tentukan koalisi itu akan bergabung koalisi lain selepas PRU15). Sebab kerusi PRU hak milik parti," jelas calon BN enggan dikenali itu kepada Sinar Premium.

Sejak Ahad, tindak tanduk Ahmad Zahid yang kini diasak sepenuhnya kepimpinan UMNO dan BN di peringkat negeri dan Pusat supaya meletak jawatan dan bertanggungjawab di atas kekalahan teruk BN pada PRU15, dilihat masih bertegas dan enggan berundur.

Bahkan terdapat desas-desus Ahmad Zahid dikatakan bertemu dengan Anwar untuk mengadakan rundingan sulit bagi membolehkan sebuah pakatan kerajaan campuran melibatkan PH-BN, Parti Warisan dan dua calon Bebas (jumlah 117 kerusi) terbentuk.

20 AHLI PARLIMEN BN TANDANTANGAN SD?

Berikutan itu, timbul spekulasi mengatakan sejumlah 20 ahli Parlimen BN diketuai Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menandatangani surat akuan bersumpah persetujuan menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri ke-10 dengan PN mengetuai koalisi kerajaan campuran baharu.

Khabar angin berkenaan diperkuatkan lagi dengan tindakan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias menjadi pemimpin BN pertama menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin secara terbuka menerusi siaran media.

Senario terkini peralihan sokongan ahli-ahli Parlimen BN itu mencetuskan tanda-tanya sama ada tindakan mereka memungkin risiko dipecat parti, seterusnya menyebabkan kerusi Parlimen dimenangi bakal berlaku kekosongan sebagaimana diperuntukkan dalam pindaan perlembagaan berkaitan akta larangan lompat parti.

Namun begitu, pakar perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz menjelaskan Perkara 49 (a) (2) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) (No.3) menuntut seseorang ahli Dewan Rakyat tidak terlucut jawatan hanya disebabkan oleh pelepasan keanggotaannya daripada parti politik apabila dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong, pemecatan keanggotaan parti atau pembubaran dan pembatalan pendaftaran parti politik mereka.

Penjelasan itu turut disokong Muhyiddin yang menjelaskan tidak salah sekiranya ahli Parlimen BN menyatakan sokongan terhadapnya sebagai perdana menteri susulan ia tidak melanggar undang-undang anti lompat parti.

BN JADI PEMBANGKANG

Walaubagaimanapun, sejak malam Ahad, timbul gesaan kuat dalam kalangan pemimpin utama BN termasuk Ketua Penerangan UMNO baharu, Isham Jalil yang menuntut supaya BN akhirnya menjadi pembangkang sepenuhnya dan tidak perlu menyertai mana-mana kerajaan campuran.

BN perlu menerima hakikat bahawa kekalahan yang dialami adalah berpunca daripada rancangan mereka yang mahu mengadakan PRU15 yang tidak kemas.

Desakan kuat daripada sebilangan besar pemimpin pro Ahmad Zahid sekali gus menjadi isyarat bahawa parti itu berkemungkinan menjarakkan diri daripada bekerjasama dengan PH mahu pun PN.

Sekiranya senario ini menjadi realiti, maka secara tidak langsung satu pembentukan kerajaan campuran di antara PH-PN-GPS-GRS atau PH-GPS-GRS-Warisan dan parti-parti kecil lain perlu dimuktamadkan pada Isnin demi menjamin pembentukan kerajaan stabil.

Tanpa BN sebagai salah satu koalisi penting pembentukan mana-mana kerajaan kelak, Muhyiddin yang sebelum ini berpeluang cerah untuk kembali menjadi Perdana Menteri kali kedua mungkin bakal kempunan.

Dengan itu, Anwar mungkin berupaya mengetepikan badi sumpahan menjadi Perdana Menteri 'tepi' sejak lebih 30 tahun lalu susulan PH merupakan koalisi paling dominan membentuk mana-mana kerajaan campuran tanpa BN.

Klik di sini untuk terus membaca