SHAH ALAM - Polemik penentuan koalisi mana yang bakal bergabung membentuk sebuah kerajaan campuran menjelang tempoh 'deadline' ditetapkan Yang di-Pertuan Agong pada 2 petang hari ini, kini menghampiri klimaks. Dengan keputusan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Polemik penentuan koalisi mana yang bakal bergabung membentuk sebuah kerajaan campuran menjelang tempoh 'deadline' ditetapkan Yang di-Pertuan Agong pada 2 petang hari ini, kini menghampiri klimaks.

Dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Parlimen tergantung dan Barisan Nasional (BN) kini menjadi 'kingmaker' dalam menentukan sama ada koalisi Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) bakal mengetuai kerajaan campuran baharu kelak, pelbagai teori konspirasi dan spekulasi sudah tercetus.

Ia susulan penafian Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa koalisi itu telah mengadakan perbincangan dengan PN mahu pun Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memilih Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10.

Kini tular pula senarai 20 ahli Parlimen BN yang dikatakan telah menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Muhyiddin mengetuai kerajaan campuran baharu, manakala baki 10 ahli Parlimen BN diketuai Ahmad Zahid sendiri didakwa menyokong Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Anwar

Keseluruhan 20 ahli Parlimen BN yang difahamkan telah 'berkampung' di kediaman rasmi Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sejak malam Ahad adalah Datuk M Saravanan (Tapah); Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands); Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis); dan Datuk Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar).

Selain itu, mereka yang dipercayai menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Muhyiddin ialah Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Titiwangsa); Datuk Seri Jalaluddin Alias (Jelebu); Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (Jempol); Datuk Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah); Datuk Mohd Isam Mohd Isa (Tampin) dan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam).

Antara lain yang turut terlibat ialah Datuk Seri Hasni Mohammad (Simpang Renggam); Manndzri Nasib (Tenggara); Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Tanjung Piai); Datuk Shahelmy Yahya (Putatan); Datuk Mohamad Alamin (Kimanis); Datuk Siti Aminah Aching (Beaufort); Datuk Arthur Joseph Kurup (Pensiangan); Suhaimi Nasir (Libaran) dan Andi Muhammad Suryady Bandy (Kalabakan).

Bagi senarai ahli Parlimen BN yang didakwa mengikut jejak langkah Ahmad Zahid menyokong Anwar adalah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan: Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong); Datuk Seri Sh Mohamad Puzi Sh Ali (Pekan); Datuk Seri Noraini Ahmad (Parit Sulong); Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin (Kota Tinggi); Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang); Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian) dan Datuk Seri Bung Mokhtar Raden (Kinabatangan).

Agak mengejutkan juga apabila senarai kenyataan tular itu turut mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut bersama Ahmad Zahid menyokong keputusan pembentukan kerajaan baharu dengan Anwar.

Kenyataan itu dipercayai mula tular dalam kalangan pengamal media sejak malam Ahad, susulan Ahmad Zahid dipercayai mengadakan pertemuan dengan 30 ahli Parlimen BN pada pagi Isnin dan dijangka turut disertai oleh Anwar sendiri di sebuah hotal di Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid Hamidi

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menafikan dakwaan daripada kenyataan tular berkenaan.

ARMAND AZHA KATA MASIH BELUM BUAT KEPUTUSAN

Menegaskan kesemua 30 ahli Parlimen BN masih belum membuat sebarang keputusan dalam menentukan sama ada koalisi itu akan menyertai mana-mana koalisi diterajui PH atau PN, Jalaluddin menegaskan rundingan masih sedang berjalan.

Ditanya sama ada kesemua ahli Parlimen BN sedang berunding dalam memberikan sokongan kepada Muhyiddin, Jalaluddin menjelaskan belum ada sebarang keputusan dibuat ke arah itu.

Sementara itu, Armand Azha turut senada dengan Jalaluddin menolak dakwaan kenyataan tular kononnya 30 ahli Parlimen BN tidak bersependapat dalam menentukan masa hadapan koalisi itu pasca PRU15.

Jelas beliau, rundingan dalam menentukan sama ada BN bersetuju menyertai mana-mana koalisi atau bertekad menjadi pembangkang masih sedang berjalan.

"Sekiranya PH dan PN tidak dapat capai angka majoriti 112 kerusi Parlimen, mereka kena wujudkan sebuah 'kerajaan sementara'.

"Sebagai BN, kita tidak perlu hendak sokong PH atau PN, sebaliknya kekal dalam pembangkang dan jadi badan semak dan imbang untuk rakyat.

"Kedua-dua koalisi itu adalah musuh politik BN, jadi tidak perlu untuk kita bersungguh-sungguh menyertai mana-mana koalisi berkenaan untuk membentuk kerajaan campuran. Saya konsisten pilih BN jadi pembangkang," tegas Armand Azha.

Klik di sini untuk terus membaca