UMUM mengetahui bahawa keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) menyaksikan tiada satu pun gabungan sama ada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) menang majoriti mudah lebih 112 daripada 220 kerusi Dewan... Klik di sini untuk terus membaca
UMUM mengetahui bahawa keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) menyaksikan tiada satu pun gabungan sama ada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) menang majoriti mudah lebih 112 daripada 220 kerusi Dewan Rakyat.

Berikutan itu, pemimpin tiga parti gabungan utama iaitu PH yang menang kerusi terbanyak, 82 kerusi; PN sebanyak 73 kerusi dan BN (30 kerusi) kini sedang sibuk mengatur strategi bagi membolehkan salah seorang pimpinan utama mereka diangkat dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10.

Keadaan itu menjadi semakin huru-hara apabila sehingga kini masih tiada formula atau penyelesaian terbaik dicapai untuk membolehkan gabungan terbabit menubuhkan kerajaan baharu dalam masa terdekat.

Malah, biarpun, ada sumber mengatakan 22 Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan enam Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dikatakan sudah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat sebagai Perdana Menteri, namun ia masih tidak mencukupi.

Ini kerana jika dicampurkan angkanya sokongan Ahli Parlimen PN, GPS dan GRS, Muhyiddin baru memperoleh 101 kerusi berbanding 112 sokongan yang diperlukan bagi membolehkan membolehkan beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Muhyiddin memerlukan sekurang-kurangnya sokongan 10 Ahli Parlimen dari parti lain termasuk dari BN, Bebas atau parti lain bagi membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri kali kedua.

Bagaimanapun, kita kena ingat bahawa Pengerusi PH merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula kini dikatakan sudah mendapat sokongan 82 Ahli Parlimen PH dan Parti Ikatan Demokratik (Muda) untuk mencapai cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri selepas berjuang lebih 30 tahun.

Berikutan itu, Muhyiddin dan Anwar masih-masing memerlukan sokongan penuh atau sebahagian daripada 30 ahli Parlimen BN bagi menentukan siapa bakal diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10.

Wan Junaidi - Foto Bernama


Bagaimanapun, keadaan menjadi semakin rumit apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan BN lain termasuk Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengadakan pertemuan dengan kepimpinan PH.

Difahamkan, antara topik utama dibincangan dalam pertemuan itu termasuklah membincangkan proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, difahamkan tidak semua ahli Parlimen BN menyokong tindakan Zahid berkenaan kerana perbuatan terbabit bertentangan dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO, sebelum ini iaitu 'No Anwar, No DAP'.

Malah, difahamkan terdapat kira-kira 20 ahli Parlimen BN yang sudah menandatangani SD bagi menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan campuran bersama PN menerusi konsep 'en block'.

HANYA SOKONG JADI PM TIDAK SALAH

Berikutan itu, timbul persoalan sama ada tindakan 20 ahli Parlimen BN yang dikatakan menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri berkenaan adalah bertentangan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, akan berkuat kuasa, mulai 6 Oktober lalu.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut sama ada tindakan itu bertentangan dengan Perlembagaan dan akta anti lompat parti atau tidak, wartawan Sinar Premium berjaya mendapatkan penjelasan lanjut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku individu bertanggungjawab membawa kepada penggubalan akta berkenaan.

Wan Junaidi berkata, akta anti lompat parti tidak menghalang seseorang Ahli Parlimen untuk menyokong mana-mana wakil rakyat yang bakal diangkat menjadi Perdana Menteri.

"Jika seseorang Ahli Parlimen itu hanya sekadar menyokong usul sesiapa menjadi Perdana Menteri, maka ia tidak menyebabkan beliau melakukan kesalahan dan tergugur jawatannya sebagai wakil rakyat. Ini kerana kita tidak mahu menggubal undang-undang bercanggah dengan Perlembagaan.

"Ini kerana mengikut Perlembagaan sesiapa sahaja Ahli Parlimen yang difikirkan oleh Yang di-Pertuan Agong fikir pada hematnya mendapat sokongan majoriti layak menjadi Perdana Menteri. Sekarang ini kita mahu merealisasikan perkara itu supaya Ahli Parlimen berhak menyokong sesiapa sahaja menjadi Perdana Menteri atau undi tidak percaya kepada beliau.

"Akta berkenaan hanya menghalang seseorang Ahli Parlimen bertukar parti bukan menyekat mana-mana wakil rakyat mahu menyokong sesiapa mahu menjadi Perdana Menteri," katanya.

KLAUSA PARTI

Wan Junaidi berkata, ini bermakna mana-mana Ahli Parlimen sama ada dari BN atau PH atau PN atau Bebas yang mendapat sokongan daripada lebih 112 Ahli Dewan Rakyat (majoriti mudah) maka beliau layak menjadi Perdana Menteri.

"Bagaimanapun, jika terdapat klausa dalam perlembagaan parti berkenaan yang menyatakan dengan jelas sekiranya dia mengambil tindakan bertentang dengan pendirian parti maka tergugur keahliannya maka secara automatik gugurlah kedudukannya selaku Ahli Dewan Rakyat.

"Sebaliknya, jika seorang itu melakukan kesalahan tertentu misalnya bergaduh dengan Presiden sehingga dipecat oleh jawatankuasa disiplin atau majlis tertinggi parti maka tidak akan menjejaskan statusnya sebagai Ahli Parlimen," katanya.

Berikutan itu, tidak hairanlah jika DAP meluluskan pindaan perlembagaan bagi membolehkan mana-mana wakil rakyatnya yang tidak mematuhi arahan parti akan kehilangan keahlian parti dan status sebagai ADUN dan Ahli Parlimen secara automatik.

"DAP membuat pindaan itu bagi melindungi parti daripada sebarang kelompongan dalam akta anti lompat parti diwartakan kerajaan yang antara lain menyatakan bahawa mana-mana Ahli Parlimen yang dipecat oleh parti tidak perlu mengosongkan kerusi mereka," katanya. Klik di sini untuk terus membaca