[EKSKLUSIF] SHAH ALAM - "Tidak betul (dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyokong mana-mana pihak). "Datuk Seri Ismail berkecuali dan setakat ini beliau masih berpendirian bahawa Barisan Nasional (BN) harus kekal... Klik di sini untuk terus membaca

[EKSKLUSIF] SHAH ALAM - "Tidak betul (dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyokong mana-mana pihak).

"Datuk Seri Ismail berkecuali dan setakat ini beliau masih berpendirian bahawa Barisan Nasional (BN) harus kekal menjadi pembangkang pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)."

Demikian kenyataan tegas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad kepada Sinar Premium pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan kononnya Naib Presiden UMNO itu telah mengambil ketetapan untuk bersama-sama dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong pembentukan kerajaan campuran di antara koalisi itu dengan PH.

Hal ini kerana nama beliau turut termasuk dalam satu senarai tular nama 12 ahli Parlimen BN yang dikatakan telah memberi mandat kepada Ahmad Zahid untuk menentukan gabungan kerajaan yang bakal disertai koalisi itu selepas ini.

Menguatkan lagi dakwaan itu, pada pagi Isnin, Ismail Sabri telah menyertai sejumlah 27 ahli Parlimen BN mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, sebelum terlibat dalam satu pertemuan di antara pucuk kepimpinan koalisi bersama Anwar dan pemimpin PH di hotel sama.

Sebelum ini, nama Ahli Parlimen Bera itu turut dikaitkan dengan spekulasi beliau dikatakan senada dengan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyokong pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rela dipecat parti.

Hishammuddin yang tidak hadir dalam pertemuan pemimpin BN-PH pagi Isnin, telah mengumumkan pendirian untuk kekal menolak kerjasama dengan PH dan bersedia dipecat parti sekiranya pendirian beliau itu dianggap satu kesalahan parti.

Ismail dan Muhyiddin pernah bergandingan dalam kerajaan sebelum ini.

BELUM ADA KEPUTUSAN AKHIR

Syed Mohd Fazmi berkata, sehingga kini, 30 ahli Parlimen BN boleh dianggap belum membuat sebarang keputusan akhir memandangkan koalisi itu masih di peringkat rundingan bukan sahaja dengan PH, bahkan PN.

Jelas beliau, sesi pertemuan 30 ahli Parlimen BN dengan Ahmad Zahid pagi Isnin turut membolehkan satu jawatankuasa rundingan khas dengan PH dan PN ditubuhkan dengan tujuh pemimpin utama koalisi itu dilantik menjadi wakil perunding.

"Tujuh pemimpin utama yang menjadi ahli jawatankuasa rundingan khas itu pastinya Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ismail Sabri sendiri selaku Perdana Menteri, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan tiga ketua parti komponen MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

"Jawatankuasa rundingan khas ini akan berunding dengan PH dan PN di sebelah pagi dan petang, sebelum mengemukakan hasil rundingan untuk dibincangkan di peringkat mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang sedang berlangsung sekarang.

"Secara jelasnya, BN masih belum membuat sebarang keputusan berhubung masa depan parti itu dan segalanya akan diketahui selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini (Isnin)," katanya.

Ismail Sabri bersama Ahmad Zahid Hamidi pada sidang akhbar perjumpaan antara PH dan BN di Hortel Seri Pacific Kuala Lumpur.

KONTROVERSI GAMBAR

Ditanya sama ada terdapat ahli Parlimen BN lain yang membuat keputusan berkecuali dan mahu koalisi itu kekal menjadi pembangkang, Syed Mohd Fazmi mengiyakannya, namun tidak mendedahkan bilangan ahli Parlimen berkenaan.

Polemik gambar pertemuan Ahmad Zahid dan sebilangan pemimpin BN dengan Anwar pada Isnin mencetuskan perdebatan sama ada BN sudah memuktamadkan kerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan campuran pasca PRU15.

Pada Ahad, Muhyiddin juga mengesahkan koalisi itu mendapat sokongan majoriti melebihi 112 kerusi Parlimen bagi mengetuai kerajaan campuran baharu pasca PRU15.

Begitu juga dengan Anwar yang mengulangi kenyataan beliau mempunyai angka sokongan mencukupi untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada Selasa.

Susulan itu, Ahmad Zahid menafikan bahawa koalisi itu telah mengadakan perbincangan dengan PN mahu pun Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memilih Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-10.

Lebih mengejutkan, dalam satu kenyataan media, Ahmad Zahid turut memberi amaran kepada 30 ahli Parlimen BN bahawa mereka sudah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepadanya untuk menentukan sebarang kerjasama bagi menubuhkan kerajaan.

Ahmad Zahid yang kini dikritik hebat sebilangan besar pemimpin BN di peringkat Pusat dan negeri, tetap bertegas untuk kekal menggalas jawatan tertinggi parti dan mengetuai koalisi menentukan masa hadapan BN.

Bagaimanapun, sejak malam Ahad, timbul gesaan kuat dalam kalangan pemimpin utama BN termasuk Ketua Penerangan UMNO baharu, Isham Jalil yang mencadangkan supaya BN akhirnya menjadi pembangkang sepenuhnya dan tidak perlu menyertai mana-mana kerajaan campuran.

Syed Fazmi (kanan) ketika Perhimpunan Agong UMNO.

Klik di sini untuk terus membaca