SHAH ALAM - Tindakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, membisu berhubung cadangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bergabung untuk membentuk kerajaan Persekutuan di Putrajaya serta kerajaan negeri di Pahang dan Perak,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tindakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, membisu berhubung cadangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bergabung untuk membentuk kerajaan Persekutuan di Putrajaya serta kerajaan negeri di Pahang dan Perak, menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan rakyat di negara ini.

Manakan tidak, sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan itu adalah orang paling lantang bersuara dan membantah cadangan supaya PH bergabung dengan BN dan UMNO jika pakatan pembangkang itu gagal memperoleh majoriti mudah atau 112 daripada 222 kerusi Parlimen dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Rafizi dalam sidang medianya baru-baru ini juga menyatakan bahawa penyokong PKR/PH dan pengundi tidak perlu berasa bimbang kerana beliau tidak akan menerima jika berlaku rundingan antara kedua-dua parti untuk bergabung selepas PRU15.

"Jika ia berlaku, saya akan menjadi orang pertama yang bersuara, jika berlaku sebarang usaha rundingan dengan UMNO," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada 1 November lalu.

Selepas keputusan PRU15 diumumkan di mana PH tidak mampu membentuk kerajaan Persekutuan secara solo tanpa bergabung dengan BN atau Perikatan Nasional (PN), Rafizi dikatakan mengambil pendekatan mendiamkan diri dan tidak mengeluarkan kenyataan berhubung kerjasama dengan BN yang sedang dirintis Anwar dan anak muridnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Malah, Rafizi hanya mendiamkan diri dan tidak mengeluar sebarang kenyataan selepas kepimpinan tertinggi PH selesai mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan BN di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada Isnin.

Gambar tular yang memaparkan Rafizi bertemu dengan Ahmad Zahid ketika pertemuan dengan barisan kepimpinan PH dan BN di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Isnin.

Selain, Anwar dan Zahid pertemuan tertutup berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan ramai lagi.

Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, kehadiran Rafizi dalam pertemuan pemimpin tertinggi PH dan UMNO pada Isnin menunjukkan beliau menyokong pembentukan jajaran politik baharu antara kedua-dua gabungan politik berkenaan.

"Jika Rafizi tidak menghadiri pertemuan berkenaan maka ia memberikan gambaran bahawa beliau membantah keras cadangan penjajaran politik baharu yang sedang dirintis antara BN dan PH berkenaan.

"Sebelum ini Rafizi adalah antara orang yang menentang penggabungan berkenaan sebelum PRU15 tetapi kehadiran beliau hari ini (Isnin) membayangkan bahawa Ahli Parlimen Pandan itu tidak membantah penjajaran baharu ini.

"Apa yang Rafizi bantah ialah cadangan penggabungan bukan hanya dengan BN, malah dengan Gerakan Tanah Air (GTA) yang mahu dibentuk sebelum PRU15 lalu," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.

Klik di sini untuk terus membaca