PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) melabuh tirai pada Sabtu lalu menyaksikan bilangan ahli Parlimen wanita berkurangan berbanding PRU14 sekali gus gagal mencapai sasaran menghantar 30 peratus golongan Hawa di Dewan Rakyat.
Pada PRU14, negara hanya mempunyai 33 ahli Parlimen wanita iaitu 14.86 peratus daripada jumlah 222 ahli Parlimen, manakala PRU15 jumlah itu berkurangan kepada 32 orang atau bersamaan 14.41 peratus.
Pakatan Harapan (PH) yang mempertaruhkan calon wanita paling ramai iaitu 38 calon keseluruhan daripada tiga parti gabungan berjaya memenangi 16 kerusi.
Di Wilayah Persekutuan, PH berjaya meraih mandat rakyat dengan tiga daripada empat kerusi yang dipertandingkan iaitu Bandar Tun Razak, Segambut dan Seputeh.
Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang pertama kali bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak, menang 43,476 undi, menewaskan penyandang kerusi itu, Datuk Kamarudin Jaaffar dari Perikatan Nasional (PN) serta calon Barisan Nasional (BN), Datuk Chew Yin Keen.
Sementara itu, calon heavyweight DAP yang merupakan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berjaya mempertahankan kerusinya di Parlimen Segambut sejak 2018.
Seorang lagi bekas menteri dari DAP, Teresa Kok terus mempertahankan kerusi Seputeh buat penggal ke enam, jauh meninggalkan calon lain dengan 73,234 undi.
Di Selangor, Parlimen Ampang yang dikenali sebagai kawasan kuasa wanita dimenangi oleh Rodziah Ismail dengan 56,754 undi mengalahkan bekas rakan seperjuangan, Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin.
Bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin yang menukar percaturannya dari Parlimen Bakri ke Parlimen Puchong membuahkan hasil apabila beliau menang dengan 79,425 undi.
Calon muda PH seperti Young Syefura Othman di Parlimen Bentong dan Vivian Wong Shir Yee di Parlimen Sandakan juga berjaya meraih hati pengundi.
PN pula menjadi koalisi kedua tertinggi dengan mempunyai tujuh Ahli Parlimen wanita.
Calon popular PN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Masjid Tanah yang dimenangi dalam PRU14 atas tiket BN selepas memperoleh 25,604 undi dengan majoriti 4,411 menewaskan calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid.
BN yang sebelum ini mempertaruhkan seramai 21 calon wanita bagaimanapun hanya dapat memenangi tiga kerusi Parlimen iaitu dua di Johor dan satu di Sabah.
Bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berhasil mempertahankan kerusi Parlimen Parit Sulong yang dipegang olehnya sejak 2008 dengan 25,740 undi.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman pula terus memperkukuhkan penguasaannya di Parlimen Pengerang selama 18 tahun.
Datuk Siti Aminah Aching yang menjadi satu-satunya calon wanita tunggal BN di Sabah berjaya menang di Parlimen Beaufort dengan 10,570 undi.
Paling menarik, Sarawak menjadi satu-satunya negeri yang berjaya memenangi kesemua lima kerusi yang dipertaruhkan oleh calon wanita dari Gerakan Parti Sarawak (GPS).
Bekas Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Nancy Shukri yang bertanding di Parlimen Santubong menang dengan undi sebanyak 43,739 manakala Datuk Rubiah Wang mempertahankan kerusi Parlimen Kota Samarahan.
IZZAH, RINA TEWAS
PRU15 ini juga menyaksikan beberapa kejutan melibatkan calon wanita di mana buat pertama kalinya Nurul Izzah Anwar gagal mempertahankan legasi keluarganya di Parlimen Permatang Pauh sejak 40 tahun lalu.
Nurul Izzah yang juga merupakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) 'lemas' dibadai tsunami PN, apabila tewas di tangan calon PN, Muhammad Fawwaz Mat Jan dengan majoriti 5,272 undi.
Bekas menteri Bersatu, Datuk Seri Rina Harun yang bertukar kerusi dari Parlimen Titiwangsa ke Parlimen Sepang, kecundang kepada Raj Muni@Aiman Athirah Sabu yang mewakili PH.
Satu-satunya calon tunggal wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy yang juga merupakan ketua wanita parti itu tewas kepada, Dr Ahmad Yunus Hairi dari PN di Parlimen Kuala Langat.
Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong Siaw Ting turut tewas di Parlimen Tebrau.
PEMERKASAAN WANITA TETAP BERKESAN
Biarpun bilangan ahli Parlimen wanita berkurangan pada PRU15, namun penganalisis politik dan media sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Sara Chinnasamy masih optimis jumlah berkenaan masih mampu untuk memperkasakan golongan wanita di Dewan Rakyat.
"Isu pemerkasaan wanita ini sudah lama dibicarakan dan saya percaya dengan adanya 32 calon yang menjadi suara Parlimen ini, pemerkasaan wanita dalam landskap politik negara akan tetap menyerlah.
"Ini merupakan hala tuju yang baik dan saya yakin angka golongan wanita mewakili parti politik mereka masing-masing akan meningkat pada pemilihan Dewan Undangan Negeri serta PRU akan datang,” katanya kepada Sinar Premium.
Tambahnya, kemenangan yang diperoleh daripada calon-calon wanita dalam PRU15 itu merupakan permulaan yang baik untuk sistem parti politik di Malaysia.
"Sekarang ini, situasi politik agak berbeza dengan dahulu yang mana kita mempunyai tiga blok politik dan tiga parti utama yang akan memerintah. Oleh demikian, bilangan wanita yang bertanding di dalam setiap komponen mungkin berkurang.
"Namun, 32 kerusi yang berjaya dimenangi oleh calon-calon wanita itu adalah sesuatu yang menarik dan menunjukkan satu demokrasi yang sihat.
Klik di sini untuk terus membaca