PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) baru saja selesai dan buat pertama kali dalam sejarah negara, tiada siapa berjaya mendapat majoriti mudah bagi membentuk sebuah kerajaan secara solo. Keadaan ini bakal menyaksikan pembentukan kerajaan oleh... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) baru saja selesai dan buat pertama kali dalam sejarah negara, tiada siapa berjaya mendapat majoriti mudah bagi membentuk sebuah kerajaan secara solo.

Keadaan ini bakal menyaksikan pembentukan kerajaan oleh gabungan parti-parti berlainan yang berbeza ideologi dan fahaman politik walaupun daripada bangsa yang sama.

Berbanding PRU sebelum ini, masyarakat negara ini semakin berpolar dalam sokongan mereka kepada elitis politik yang mempunyai agenda individu dan kepartian masing-masing.

Apa yang amat digusarkan ialah sebahagian besar elitis politik tanpa mengira parti telah berjaya ‘melaga-lagakan’ masyarakat umum dengan pelbagai tuduhan serta menimbulkan perasaan takut terhadap musuh politik mereka daripada agama yang sama.

Antara tuduhan yang paling ekstrem dan jijik ialah sebahagian musuh politik dianggap sebagai mempromosikan gaya hidup sekular melampau, tali barut kepada rejim Amerika dan Israel, menggalakkan orang Melayu menjadi murtad selain membenarkan unsur-unsur rasuah dalam pentadbiran negara.

Tuduhan-tuduhan ini adalah amat berat dan membiakkan kebencian serta mendatangkan kemudaratan kepada ukhuwah bangsa Melayu Islam yang dominan di negara ini.

Kesemua yang berlaku tidak menampakkan sebarang kesan fizikal, tiada pertumpahan darah, tiada rusuhan dan tiada harta benda yang musnah pada pilihan raya, namun kemusnahan sebenar telah pun berlaku terutama dari sudut psikologi dan minda.

Dari keadaan yang sebeginilah akan timbul bibit-bibit kebencian sesama bangsa, agama dan ideologi yang beransur-ansur mampu merobohkan kekuatan negara berdaulat.

Dalam keghairahan elitis politik merebut tampuk pemerintahan, mereka kadangkala lupa bahawa matlamat utama sesiapa sahaja yang bakal dipilih adalah untuk memastikan kemerdekaan dan integriti kedaulatan wilayah negara kekal terjamin.

Tidak ada yang lebih menyeronokkan kuasa luar selain mahu menyaksikan negara ini kucar-kacir akibat percakaran yang berpanjangan sesama elitis politik.

Kebencian elitis politik terhadap seteru politiknya, walau sebangsa dan seagama, lazimnya akan disalurkan kepada ahli parti dan masyarakat umum yang akan turut terpengaruh melalui ceramah dan kempen politik.

Kita perlu melihat dan mengambil iktibar daripada kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol yang selama 800 tahun terkenal dengan keselamatan dan kestabilan, kehidupan aman damai serta pembangunan pelbagai bidang ilmu sains serta teknologi yang terkedepan.

Kemusnahan tamadun ini mengikut kajian para sejarawan berpunca daripada perpecahan dalam kalangan pemerintah Islam, sifat materialisme, rasuah berleluasa serta konspirasi oleh musuh-musuh mereka.

Selain itu tiga faktor yang dikatakan menjadi pencetus utama kepada kehancuran tamadun Andalusia adalah persengketaan politik dalaman, isu keagamaan serta faktor ekonomi.

Hierarki politik Andalusia dikepalai oleh seorang amir yang melantik perdana menteri sebagai pelaksana menguruskan negara serta hal ehwal ketenteraan, manakala seorang kadi menjawat jabatan kehakiman.

Apa yang berlaku ialah perdana menteri dan kadi kerap bertelagah menyebabkan negara gagal ditadbir dengan baik dan keadaan ekonomi Andalusia merudum. Inflasi melonjak dan kesan langsung daripada perkara ini membiakkan korupsi yang berleluasa.

Budaya rasuah menjadi begitu teruk sehinggakan pada 1210, Amir Andalusia telah menjatuhkan hukuman mati kepada dua gabenor di wilayah Fez dan Ceuta atas kesalahan menerima rasuah.

Pada 1236 pelbagai konsesi dan hak menjalankan aktiviti komersial dengan negara luar seperti Genoa dan Venice telah dilaksana yang membawa keuntungan besar kepada ekonomi Andalusia.

Namun begitu kekayaan ini hanya dinikmati oleh golongan elit tertentu yang kemudian menggunakan pengaruh kewangan terhadap para amir.

Pada 1265, keistimewaan perdagangan ini turut diberikan kepada Perancis. Sebahagian pedagang dan peniaga dari Perancis ini bagaimanapun bertindak sebagai perisik dan membekalkan maklumat kritikal berkaitan kemampuan ketenteraan, arus politik serta sosial Andalusia kepada kerajaan Kristian Eropah dan tentera Salib.

Jika elitis politik di Malaysia terus mengamalkan budaya kebencian ini, tidak mustahil negara bakal menjejaki laluan keruntuhan Andalusia.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca