KENAIKAN paras air laut merupakan salah satu kesan pemanasan global. Faktor yang mempengaruhi kenaikan paras laut adalah peningkatan haba, pemanasan air laut dan peningkatan peleburan ais daratan. Jika tiada usaha dilakukan untuk... Klik di sini untuk terus membaca

KENAIKAN paras air laut merupakan salah satu kesan pemanasan global. Faktor yang mempengaruhi kenaikan paras laut adalah peningkatan haba, pemanasan air laut dan peningkatan peleburan ais daratan.

Jika tiada usaha dilakukan untuk mengurangkan kesan gas rumah hijau, kajian meramalkan suhu di lapisan permukaan 2,000 meter di semua laut di dunia bakal meningkat sehingga 0.78 darjah Celsius menjelang penghujung abad ini.

Lonjakan bacaan termal ini menjadi punca pengembangan air laut hingga boleh meningkatkan paras laut sehingga 30 sentimeter, iaitu melebihi bacaan peningkatan paras laut akibat pencairan glasier dan ais di kutub.

Kajian pada tahun 1995 mengunjurkan, kenaikan purata aras laut global adalah sebanyak 13 hingga 94 sentimeter bagi tahun 1990 hingga tahun 2100.

Malah, saintis turut memberi amaran paras laut dijangka meningkat sehingga 1.3 meter menjelang 2100 jika suhu permukaan bumi meningkat lebih 3.5 darjah Celsius.

Menjelang 2300 pula, apabila lapisan ais yang melitupi kawasan Antartika Barat dan Greenland mencair dengan ketara, paras laut boleh meningkat sehingga lebih 5 meter dan membentuk semula sempadan pantai seluruh dunia.

Perkara ini menimbulkan kebimbangan kerana dianggarkan 10 peratus penduduk dunia atau 770 juta orang hidup di kawasan daratan kurang dari lima meter di atas permukaan air pasang.

Kesan lain adalah keluasan tanah akan semakin berkurang dan berlakunya kehilangan tanah penduduk. Natijahnya, paras air laut yang semakin meningkat menyebabkan banyak kawasan rendah semakin hilang atau tenggelam.

Impak ketara lain adalah berlaku kehilangan nyawa, harta benda dan ekosistem semula jadi, aktiviti ekonomi terjejas, gangguan pada kesihatan dan mental serta pencemaran.

Malaysia merupakan sebuah negara maritim yang mempunyai ekosistem garis pantai semula jadi sepanjang 4,800 kilometer.

Kajian oleh Pusat Kajian Pantai dan Oseanografi, Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) mengunjurkan, pesisiran pantai Semenanjung akan mengalami unjuran kenaikan aras laut antara 0.25 meter hingga 0.52 meter pada 2100.

Kajian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menunjukkan purata kenaikan aras laut bagi 2000 hingga 2050 adalah 0.25 meter, iaitu bersamaan dengan lima milimeter setahun.

Perubahan kandungan air di kawasan Lautan Pasifik dan Laut China Selatan akan menyebabkan peningkatan paras air laut terutama di Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor.

Perubahan kelajuan arus dan ketinggian ombak juga akan meningkatkan kadar hakisan di pesisiran pantai tersebut, malah akan diburukkan lagi semasa kejadian monsun dan ombak besar yang akan memberi kesan lebih signifikan terhadap pesisiran pantai sedia ada.

Natijahnya, 30 peratus daripada penduduk Malaysia tinggal di kawasan zon pantai iaitu lima kilometer dari zon pasang surut.

Kepadatan penduduk juga adalah tinggi di kawasan ini dengan 55 peratus kadar pekerjaan membabitkan pelbagai sektor perkhidmatan, perindustrian dan pertanian.

Menjelang tahun 2100, jumlah penduduk Malaysia yang terjejas akibat kenaikan aras laut dianggarkan 1.5 juta orang.

Hakikatnya, kesan pemanasan global akan menyebabkan fenomena peningkatan aras laut di persisiran pantai Malaysia. Misalannya, unjuran kenaikan aras laut di Batu Pahat, Johor adalah 0.028 meter pada tahun 2020, 0.066 meter (2040) dan 0.25 meter (2100).

Dunia perlu bertindak segera mengawal pemanasan global dengan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Malah, usaha menangani risiko sedia ada ekoran perubahan iklim seperti kenaikan aras laut melalui dasar perancangan zon pesisir pantai yang menyeluruh serta melibatkan pengurusan adaptasi yang berterusan perlu diberi tumpuan.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca