WASHINGTON - Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) melancarkan 'misi baharu' ke bulan pada Rabu lalu. Ia akan membawa langkah besar kepada Amerika Syarikat (AS) untuk menempatkan semula angkasawan mereka buat... Klik di sini untuk terus membaca

WASHINGTON - Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) melancarkan 'misi baharu' ke bulan pada Rabu lalu.

Ia akan membawa langkah besar kepada Amerika Syarikat (AS) untuk menempatkan semula angkasawan mereka buat pertama kali sejak program Apollo berakhir lima dekad lalu.

Pelancaran roket gergasi, Artemis 1 berukuran sepanjang 98 meter yang membawa kapsul Orion dari Pusat Angkasa Kennedy di Cape Canaveral, Florida itu akhirnya berjaya dilakukan selepas dua kali percubaan gagal sebelum ini kerana berdepan masalah teknikal.

Ia merupakan roket Sistem Pelancaran Angkasa (SLS) paling canggih pernah dibangunkan NASA dengan daya tujahan lebih tinggi berbanding kapal angkasa ulang-alik atau Saturn V yang membawa manusia ke bulan.

Ia sekali gus menandakan bermulanya program penerokaan bulan Artemis yang dinamakan sempena nama saudara kembar mitologi, Apollo yang bertujuan menetapkan matlamat untuk menghantar empat angkasawan ke bulan menerusi misi seterusnya pada 2024 dan mendaratkan manusia seawal 2025.

Ujian penerbangan yang menelan kos AS$4.1 bilion (RM19 bilion) itu dijangka mengambil masa selama kira-kira 25 hari dan dijadualkan kembali semula ke bumi dan mendarat di Lautan Pasifik pada 11 Disember depan.

NASA juga mahu memastikan kapal angkasa itu mencapai 'had maksimum' bagi mengenal pasti sebarang masalah sebelum ia dapat membawa angkasawan pada masa akan datang.

Artemis 1 dilancarkan dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy di Cape Canaveral di Florida pada Rabu lalu.

Orion turut membawa patung digelar sebagai 'moonequins' yang dipasang dengan sensor untuk mengukur getaran, pecutan dan sinar kosmik.

Pada Jumaat, NASA mendakwa kapal angkasa, Orion menunjukkan prestasi melebihi jangkaan.

"Ia adalah satu perkembangan yang positif,” kata Ketua Misi Artemis 1, Mike Sarafin merujuk kepada ujian penerbangan pertama tanpa membawa kru sebenar untuk memastikan tahap keselamatan kapal angkasa tersebut.

Sementara itu, Pengurus Orion di Pusat Angkasa Johnson di Houston, Jim Geffre berkata, empat panel solar yang berukuran sepanjang kira-kira empat meter berfungsi dengan baik dan menyediakan lebih banyak tenaga daripada yang dijangkakan.

Orion yang sudah berada pada jarak kira-kira 320,000 kilometer (km) dari bumi bersiap-sedia untuk memasuki orbit bulan pada Isnin dengan jarak paling hampir dalam lingkungan 100 km dari permukaannya bagi memanfaatkan daya gravitinya.

"Ia akan menghampiri sisi jauh bulan. NASA menjangkakan hubungan komunikasi dengan kapal angkasa itu terputus selama kira-kira 35 minit.

"Kami akan melalui beberapa tapak pendaratan Apollo,” kata Pengarah Penerbangan Misi Artemis 1, Jeff Radigan.

Kapal angkasa Orion turut berkongsi imej pada jarak 91,733km dari bumi pada hari ketiga pelancaran misi Artemis 1 tersebut.

Orion akan memasuki orbit terakhirnya mengelilingi bulan pada Jumaat ini dan NASA juga bakal membuat liputan secara langsung di Space.com dengan ihsan NASA TV. - AFP


NASA KEMBALI JELAJAH BULAN

- Kejayaan Artemis 1 akan menentukan misi Artemis 2 yang bakal membawa angkasawan mengorbit bulan tanpa mendarat di permukaannya dan disusuli dengan Artemis 3 yang akan menandakan kembalinya manusia ke bulan.

- Artemis 2 dijadualkan pada 2024 disusuli Artemis 3 pada 2025.

- Roket itu sepatutnya melakukan ujian penerbangan pada 2017. Badan pemerhati di Washington menganggarkan kos projek itu berjumlah AS$93 bilion (RM423 bilion) menjelang 2025.

- NASA juga berharap untuk menubuhkan pangkalan pada permukaan bulan dan menghantar angkasawan ke Marikh pada akhir 2030-an atau pada awal 2040-an.


Klik di sini untuk terus membaca