SHAH ALAM - Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mengesahkan Pengerusi koalisi itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi dipilih sebagai calon tunggal Perdana Menteri setakat Selasa. Jelas Ketua Pemuda Pas berkenaan,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mengesahkan Pengerusi koalisi itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi dipilih sebagai calon tunggal Perdana Menteri setakat Selasa.

Jelas Ketua Pemuda Pas berkenaan, beliau juga mempersoalkan kenyataan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang mendakwa PN kini terpaksa menawarkan jawatan Perdana Menteri ke-10 kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hal ini kerana Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan, beliau langsung tidak menerima maklumat berkenaan daripada mana-mana pucuk kepimpinan PN setakat ini.

"Kena tanya dia (Lokman Adam), mana dia dapat sumber itu. Saya tiada maklumat tentang itu.

"Setakat jam 2.45 petang hari ini (Selasa), ya solid (calon tunggal Perdana Menteri daripada PN adalah Muhyiddin)," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi membidas dakwaan Lokman yang menggambarkan PN kini dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan kuasa mentadbir negara sehingga dikatakan sanggup menawarkan Ismail Sabri jawatan Perdana Menteri bagi meraih sokongan blok BN.

Menurut Lokman, penawaran itu sebagai balasan 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong koalisi itu untuk membentuk kerajaan campuran bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Hal ini kerana timbul desas-desus mengatakan pucuk kepimpinan BN diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah bersedia untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan baharu.



Lokman juga dalam kenyataannya turut menyeru Ismail Sabri supaya tidak terpengaruh dengan tawaran PN itu, sebaliknya meletakkan kepentingan parti mendahului kepentingan peribadi.

Sebelum ini, Dewan Tertinggi BN sudah memutuskan 30 ahli Parlimen koalisi itu sudah sebulat suara tidak akan menyokong pembentukan kerajaan gabungan dengan mana-mana koalisi PH dan PN, sebaliknya bersedia menjadi pembangkang.

Dalam satu kenyataan media, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa koalisi itu sudah mendapat angka sokongan majoriti mencukupi daripada 221 ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan campuran baharu pada Selasa.

Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ketua-ketua parti politik yang mempunyai majoriti terbanyak mengemukakan gabungan baharu dan calon Perdana Menteri kepada Istana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ketua-ketua parti yang memiliki majoriti terbanyak itu perlu memaklumkan perkara tersebut kepada Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun sebelum diserahkan kepada Istana Negara.

Bagaimanapun, Seri Paduka Baginda memberi perkenan untuk melanjutkan proses mengemukakan gabungan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 sehingga jam 2 petang Selasa.

Ia susulan permohonan daripada ketua dan gabungan parti politik dan gabungan politik untuk melanjutkan masa.

Klik di sini untuk terus membaca