SHAH ALAM - Pembentukan kerajaan di Perlis hari ini mencipta sejarah tersendiri khususnya buat Perikatan Nasional (PN) di mana menjadi satu-satunya parti yang mengakhiri penguasaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri itu sejak merdeka.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pembentukan kerajaan di Perlis hari ini mencipta sejarah tersendiri khususnya buat Perikatan Nasional (PN) di mana menjadi satu-satunya parti yang mengakhiri penguasaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri itu sejak merdeka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang, Mohd Shukri Ramli, yang juga Pengerusi PN Perlis dan Pesuruhjaya Pas negeri itu, secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-8 yang baharu di Istana Arau pada Selasa.

Mohd Shukri, 61, juga menjadi Menteri Besar pertama dari gabungan PN yang mentadbir Perlis buat julung kalinya selepas gabungan itu berjaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu lalu.

PN memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, manakala Pakatan Harapan (PH) menang satu di DUN Indera Kayangan.

Kejayaan itu juga sekaligus menumbangkan kerajaan BN yang mentadbir Perlis sejak 65 tahun lalu.

Uniknya di negeri itu, biarpun pada PRU14 lalu, BN tumbang di peringkat persekutuan, namun Perlis dan Pahang antara dua negeri yang masih utuh ditadbir BN, walaupun tsunami rakyat tercetus ekoran skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan pemimpin tertinggi parti itu.

Pada PRU14, BN menang 10 kerusi, diikuti PKR dengan tiga kerusi dan Pas sebanyak dua kerusi.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalulail berkenan mengurniakan watikah pelantikan Menteri Besar Perlis yang baharu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang Mohd Shukri Ramli pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Istana Arau pada Selasa.

Namun badai rakyat yang berlaku pada PRU15 mencipta sejarah tersendiri di mana PN berjaya meluaskan penguasaan dengan memenangi 73 kerusi Parlimen termasuk tiga di Perlis.

Penyertaan tokoh politik, Datuk Seri Shahidan Kassim pada saat-saat akhir untuk bertanding atas tiket PN juga dilihat sebagai titik tolak kebangkitan gelombang gabungan tersebut sehingga berjaya mengambil alih negeri ini daripada cengkaman BN.

Bekas Menteri Besar itu menyertai PN dan bertanding mempertahankan Parlimen Arau selepas namanya tidak disenaraikan sebagai calon oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Berkisarkan tentang Mohd Shukri atau cukup dikenali sebagai Cikgu Shukri dalam kalangan masyarakat tempatan, beliau adalah pesara guru yang berpengalaman luas dalam profesion pendidikan selama 37 tahun serta pernah berkhidmat sebagai guru di pelbagai sekolah di Sarawak dan Perlis.

Beliau sudah berkahwin dan dikurniakan enam orang anak.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau menyambung pendidikan di Institut Perguruan Rajang yang kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang, Bintangor, Sarawak.

Mohd Sukri kemudian memulakan karier sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Beraya, Miri, SK Pulo, Kuching dan lima lagi sekolah rendah di Perlis bermula 1985 sehingga bersara pada 2013 untuk terjun ke bidang politik.

Mohd Shukri mula menjadi ADUN Sanglang selepas menang di kerusi DUN itu pada PRU13 pada 2013 sebelum terus mempertahankan kerusi berkenaan sehingga kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan Datuk Seri Saarani Mohamad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah pada Isnin.

Beliau pernah menjawat jawatan Ketua Penerangan Pas Perlis dan Setiausaha Perhubungan Pas Perlis.

Sebagai Menteri Besar baharu, beliau menegaskan ia amanah daripada rakyat yang perlu dilaksana dengan sebaiknya.

Beliau bersama wakil rakyat yang dipilih akan bekerja keras bagi memastikan manifesto PN bertemakan 'Prihatin, Bersih, Stabil' dapat dilaksana ke arah membentuk 'Perlis Baharu'.

"Perubahan khususnya dari segi pembangunan ekonomi dan insan seperti yang dijanjikan dalam manifesto PN sebelum ini akan ditunaikan secara berperingkat," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Perlis atas kepercayaan kepada kerajaan PN untuk mentadbir negeri itu.

Selain Cikgu Shukri, seorang lagi bekas cikgu, Datuk Seri Saarani Mohamad daripada BN, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-15, jawatan yang dipegangnya sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 16 Oktober lalu.

ADUN Kota Tampan itu juga mencipta sejarah sendiri, menjadi Menteri Besar pertama gabungan politik BN-PH di negeri itu.

Pada PRU15, PN memenangi 26 kerusi DUN di Perak, diikuti PH (24) dan BN (9).

Saarani memulakan kerjaya sebagai guru pada tahun 1982 setelah menamatkan pengajian Diploma Sains serta Pendidikan (Fizik dan Matematik) di Universiti Teknologi Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca