SHAH ALAM - Perlembagaan Persekutuan wajar dipinda bagi membolehkan seorang perdana menteri dilantik daripada parti atau gabungan yang memenangi paling banyak kerusi pada pilihan raya umum (PRU) bagi mengelak fenomena Parlimen tergantung... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perlembagaan Persekutuan wajar dipinda bagi membolehkan seorang perdana menteri dilantik daripada parti atau gabungan yang memenangi paling banyak kerusi pada pilihan raya umum (PRU) bagi mengelak fenomena Parlimen tergantung seperti sekarang.

Bagaimanapun, pindaan berkenaan perlu dikaji secara lebih mendalam dengan mencari solusi tepat bagi menghindari risiko kerajaan yang terbentuk jatuh, disebabkan gagal mendapat undi percaya di Dewan Rakyat.

Pakar Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, hal itu penting agar wujud konsensus daripada semua parti politik sebelum sesebuah kerajaan dilantik.

Menurutnya, ia sebagaimana sistem penubuhan kerajaan minoriti yang diamalkan di Itali, di mana semua parti dijemput memberi pandangan dan mengesahkan mana-mana gabungan yang mendapat majoriti terbanyak untuk menubuhkan kerajaan.

"Sekiranya Parlimen tergantung, kalau ada peruntukan undang-undang seperti di Itali, maka Yang di-Pertuan Agong akan memanggil kesemua blok parti yang terlibat.

"Mereka perlu membentangkan keadaannya. Adakah akan wujud satu kerajaan campuran atau tidak, adakah satu blok yang majoriti akan diwujudkan?

"Jadi maknanya konsensus itu dibuat sebelum melantik kerajaan di peringkat tertinggi. Selepas itu barulah kerajaan dilantik dan perdana menteri angkat sumpah. "Itu mungkin cara yang perlu difikirkan untuk meminda Perlembagaan demi mengatasi masalah Parlimen tergantung,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau mengulas keperluan meminda Perlembagaan dengan menggantikan peruntukan baharu iaitu parti yang memenangi kerusi paling banyak dalam PRU perlu dijemput oleh Seri Paduka Baginda untuk membentuk kerajaan.

Buat masa ini, seseorang hanya boleh dilantik sebagai perdana menteri apabila gabungannya mendapat kerusi lebih 50 peratus atau sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi Parlimen.

Nik Ahmad Kamal berkata, kerajaan minoriti ada banyak kelemahan, selain disifatkan rapuh berbanding kerajaan campuran kerana sentiasa diselubungi kebimbangan gagal mendapat undi percaya."Tapi sokongan boleh dibuat secara Memorandum persefahaman (MoU) menerusi perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA),” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca