MULANYA, kita dilahirkan sebagai bayi yang tidak berdaya. Kita tidak tahu apa yang berlaku di sekeliling. Dari alam rahim yang sempit, kita lahir ke alam dunia yang luas. Lalu kita berasa bingung dan takut sendirian. Lantas kita menangis.
Ibulah yang membelai dan menyuakan puting susu buat penghilang dahaga. Hari berganti minggu, berganti bulan dan kita membesar. Ibu, bapa dan mereka di sekeliling mendidik kita.
Kesemuanya mahu kita membesar menjadi insan yang baik. Dan mereka melarang kita berbuat yang jahat. Kita mula faham galakan dan larangan mereka bila kita mummayiz.
Dunia sentiasa adil bila mengajar kita susah dan senang, mengilmukan kita hingga menjadi pandai dalam banyak bidang tetapi bodoh dalam hal-hal yang baharu atau yang kita tidak mengerti. Kita mengalami hidup sebagai insan yang kaya; kaya harta, kaya jiwa serta kaya ilmu. ALLAH Yang Adil memberi juga kita pengalaman miskin harta, jiwa dan ilmu.
Dalam meniti kehidupan, kita belajar apa yang baik, mulia dan terpuji. Kita juga belajar tentang kejahatan, kehinaan dan kekejian. Pendek kata, kita banyak lakukan apa yang mendatangkan pahala dan juga yang mengakibatkan dosa.
Di sepanjang hayat, kebaikan kita naik dan turun seperti juga iman kita. Kita meninggalkan kebaikan bila tergelincir ke lembah kejahatan. Akhirnya kita bertaubat dan kembali semula ke pangkal jalan.
Positif dan negatif yang kita lalui itu silih berganti. Kita tempuhi segalanya samada di zaman kanak-kanak, remaja mahupun dewasa.
Tatkala kita berada dalam keadaan positif dikelilingi kemewahan dan kehebatan, kita tidak mahu ia pergi. Lalu kita mempertahankannya dengan apa cara sekali pun. Ada yang kekal berpaut di alam yang indah-indah itu dengan cara yang bersih menurut peraturan, undang-undang dan hukum agama.
Namun ada juga yang cuba mengekal, malah menambah kemewahan dan kehebatan itu dengan cara-cara yang melanggar adat, undang-undang mahu pun hukum agama.
Ada yang tidak peduli apa yang akan jadi pada orang lain, asalkan dapat melepas diri dengan memijak orang dan memakan kawan dalam usaha memanjat tangga impian.
Semuanya dilakukan tanpa merenung dan membayangi apa yang akan dihadapi di hari muka, bila berdepan dengan ALLAH yang murka.
Dalam pada itu, ada juga yang menerima nasib yang suram dan kelam di dunia ini. Beruntunglah seandainya kita sentiasa sabar dan tenang menerima ketentuan-NYA sebagai ujian kehidupan di dunia agar ringan timbangan pada hari pembalasan.
Tetapi alangkah rugi seandainya kita yang malang di dunia, gelap juga di kemudian hari sekiranya segala buruk yang terjadi di dunia ini dibiarkan tanpa usaha membela diri sendiri. Benar, begitulah arus kehidupan. Namun kita tidak boleh biarkan diri hanyut, tenggelam dan lemas di dasar neraka dunia.
Bila kita berdepan pada segala kebaikan dan kemajuan, kita berasa beruntung dan ingin terus menggenggamnya. Tetapi apabila menerima semua keburukan dan kehinaan, naluri kita sendiri mendesak kita meninggalkannya.
Jika diri kita punyai kehendak kepada kebaikan, begitulah juga orang lain. Mereka juga seperti kita yang mahukan segala kebahagiaan buat diri sementelah hayat masih ada. Mereka mendambakan kesucian seperti bayi yang lahir, menjelang hari mereka menutup mata.
Jadi, usah tinggalkan mereka yang kita tahu sudah menjadi manusia yang jahat lagi berdosa. Usah pula mencemuh dan mencerca mereka tanpa memberi peluang mereka kembali menjadi manusia yang baik.
Entah, entah ketika mereka baik, mereka jauh lebih baik daripada kita. Bila mereka jahat, jahat mereka pun tidak sejahat kita. Mereka juga pernah merasai kebahagiaan menjadi insan yang kamil. Dan, mereka boleh jadi orang baik semula. Cuma, mereka terlupa dan alpa.
Barangkali mereka sesat dan tidak nampak jalan pulang. Jika begitu, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menghampiri, menasihati dan jika perlu memapah dan menarik mereka agar tidak lemas di lautan noda.
Renungkan dan ingatlah. Batin insan yang jahat dan sesat itu sentiasa menjerit dan meraung pinta diselamatkan. Hampirilah hati dan dengarlah degupan jantungnya yang masih berzikir. Bayangkan bagaimana sekiranya insan itu adalah diri kita dan tiada sesiapa pun yang mahu datang menolong?
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca