SHAH ALAM - Kegagalan mana-mana pakatan politik meraih jumlah sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), memungkinkan tiga situasi berlaku iaitu pemerintahan bersifatkan kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kegagalan mana-mana pakatan politik meraih jumlah sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), memungkinkan tiga situasi berlaku iaitu pemerintahan bersifatkan kerajaan minoriti, perpaduan atau caretaker.

Pakar Perlembagaan, Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, jika tiada sesiapa di antara ahli Parlimen yang boleh mendapat mandat majoriti, maka seseorang ahli Parlimen itu boleh membawa tawaran kerajaan minoriti bersama bilangan ahli Parlimen yang memberi sokongan bersyarat, melalui persetujuan Confidence and Supply Agreement (CSA) atau Perjanjian Keyakinan dan Bekalan.

CSA adalah perjanjian bertulis di antara sebuah parti politik atau beberapa ahli Parlimen bersama pihak kerajaan minoriti berkenaan apa-apa usul undi kepercayaan, rang undang-undang yang mustahak atau undi perbekalan atau bajet yang bakal dibentangkan dan diputuskan melalui proses pengundian di dalam Dewan Rakyat kelak.

Wan Ahmad Fauzi menambah, kerajaan perpaduan pula merupakan kerajaan yang terbentuk hasil gabungan parti politik selepas keputusan pilihan raya diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Selepas berakhirnya PRU15 pada Sabtu lalu, tiada mana-mana pakatan politik baik Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) mahupun Barisan Nasional (BN) meraih majoriti mudah, sekurang-kurangnya 112 ahli Parlimen, untuk menguasai Putrajaya.

PH menang 82 kerusi diikuti PN dengan 73 kerusi, manakala BN yang hanya memenangi 30 kerusi Parlimen telah membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula dengan kemenangan 23 kerusi Parlimen telah membuat kenyataan terbuka menyokong PN dan meletakkan kebijaksanaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melantik Perdana Menteri baharu yang akan mentadbir negara.

Seterusnya adalah kerajaan caretaker atau sementara, yang dipimpin oleh Perdana Menteri sementara ketika ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pun begitu, Kabinet tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar dan polisi baharu walaupun masih boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pentadbiran negara.

Situasi sama pernah berlaku di Belgium pada tahun 2010 hingga 2011 apabila kerajaan Belgium meneruskan pentadbiran selama 589 hari tanpa kerajaan yang dipilih, lebih setahun selepas pilihan raya umum diadakan pada Jun 2010.

Wan Ahmad Fauzi menegaskan, dalam situasi yang berlaku ketika ini, tidak wujud istilah kerajaan tergantung kerana kerajaan sementara yang dipimpin Ismail Sabri masih berfungsi seperti biasa walaupun kuasanya terhad.

Pun begitu, pensyarah dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu tidak menolak kemungkinan PH dan PN bakal membentuk kerajaan perpaduan jika pemimpin kedua-dua gabungan mencapai kata sepakat selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada petang Selasa.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mungkin boleh diangkat menjadi Perdana Menteri kepada kerajaan perpaduan PN-PH jika Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju kerana gabungan PH mendapat kerusi terbanyak, 82 kerusi Parlimen.

"Bagaimanapun, tidak mustahil Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang diangkat memimpin kerajaan perpaduan berkenaan jika Anwar dan Muhyiddin bersetuju kerana Pas merupakan parti yang menang kerusi terbanyak iaitu 49 kerusi," katanya kepada Sinar Premium.

Anwar selepas dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong menegaskan setakat ini tidak timbul tentang pembentukan kerajaan minoriti.

Katanya, setakat ini tiada apa-apa keputusan membabitkan pelantikan Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong, sebelum ini memaklumkan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi juga tidak menolak kemungkinan Yang di-Pertuan Agung akan mengambil langkah drastik melantik mana-mana ahli Dewan Rakyat difikirkan baginda mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya membentuk barisan Jemaah Menteri untuk membantunya mentadbir negara.

Ini kerana, sebenarnya Yang di-Pertuan Agong boleh sahaja melantik seseorang Ahli Dewan Rakyat menjadi Perdana Menteri tanpa melihat siapa mendapat majoriti tertinggi.

"Apa yang perlu Seri Paduka Baginda lakukan ialah melantik Perdana Menteri yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Sama ada hemat Seri Paduka Baginda betul atau tidak, ia merupakan urusan selepas pelantikan Perdana Menteri.

"Perdana Menteri itu seterusnya perlu mempunyai kepercayaan majoriti untuk memimpin Kerajaan sama ada dengan membawa usul percaya ke Dewan Rakyat apabila Parlimen ke-15 bersidang dalam tempoh 120 hari dari tarikh pembubarannya atau dengan mengadakan persefahaman dengan pembangkang, atau membentuk kerajaan perpaduan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca