KETIKA berusia sekitar sepuluh atau sebelas tahun, entah bagaimana tiba-tiba timbul soalan di fikiran saya; berapakah kelajuan Apollo 11 yang membawa Neil Amstrong dan rakan-rakannya ke bulan? Saya bertanya pada guru, dia suruh saya cari jawapannya sendiri. Baguslah, dia ajar saya ‘berdikari’.
Saya cuba mencari jawapannya dengan menyelongkar buku-buku dan majalah-majalah yang ada di rumah. Tiada. Saya cuba mencarinya di perpustakaan kecil di sekolah kami. Pun tiada.
Akhirnya lama-kelamaan soalan itu hilang dari fikiran saya.
Tiga empat tahun kemudian, ketika jatuh cinta buat pertama kalinya pada Lydia Kandou, bintang Indonesia yang popular pada masa itu, saya teringin sangat hendak mengetahui apakah tingginya sepadan dengan saya.
Banyak majalah hiburan yang saya belek, banyak rencana mengenainya saya baca, tetapi saya gagal menemui walau satu pun catatan tentang ketinggiannya.
Akhirnya saya putus asa dan melupakan sahaja tentang perkara itu walaupun tak pernah melupakan namanya sehinggalah saya temui cinta kedua – Brooke Shields.
Baru-baru ini, dalam kesibukan berceramah, entah bagaimana saya teringat kembali soalan mengenai kelajuan Apollo 11. Maka segeralah saya meng’goggle’, dan belumpun sempat mata berkejip, jawapannya terus muncul.
Saya juga teringat tentang Lydia dan tanda tanya saya tentang ketinggiannya. Walaupun hati saya kini tidak lagi bersamanya, tetapi saya ‘google’ juga sekadar untuk memuaskan hati. 1.67 meter. Padan dengan saya.
Demikianlah mudahnya kehidupan zaman sekarang. Kehadiran enjin carian seperti Google menyebabkan kita seolah-olah tidak lagi boleh menjawab ‘tidak tahu’ tentang apa juga perkara, sebaliknya boleh berlagak sebagai ‘serba tahu’ mengenai semua perkara.
Malah kalau rajin menggali ilmu, kita juga boleh menjadi serba pandai. Sebagai contoh, saya mempunyai seorang kawan yang tahap kejahilannya dengan hal ehwal dapur tidak ada tolok bandingan.
Kebolehannya hanyalah setakat menjerang air dan merendam mi segera. Tetapi apabila berkunjung ke rumahnya baru-baru ini, di mana saya disajikan dengan pelbagai jenis makanan yang sedap-sedap, saya tergamam apabila isterinya memberitahu semua makanan itu kawan saya yang masak.
"Dia belajar dari Youtube,” kata isterinya, seorang guru zumba yang mendapat pendidikan asas mengenai tarian itu secara atas talian.
"Anak kami pun belajar membaiki kenderaan melalui media sosial, sekarang dia sudah ada dua buah bengkel,” si bapa mencelah.
Berdasarkan contoh-contoh itu, nikmat apa lagi yang hendak kita dustakan?
Hanya mereka yang pernah melaluinya sahaja yang tahu betapa sukarnya hendak mencari ilmu pada masa dahulu. Tidak perlulah jadikan kisah Hang Tuah Lima Bersaudara meredah hutan mencari gua tempat Sang Adi Putra bertapa atau riwayat ulama tersohor nusantara Sheikh Daud al-Fatani yang berguru di Acheh selama dua tahun, kemudian berguru lagi di Mekah selama tiga puluh tahun, sebagai contoh. Ambil sahaja contoh yang dekat-dekat. Yang terjadi tiga empat dekad yang lalu.
Pada masa itu masalahnya bukan sahaja tentang wang ringgit untuk membayar yuran, tetapi juga tentang tempat dan kemudahan pembelajaran.
Pernah sampai ke telinga saya kisah sebuah kelas komputer di sebuah pekan entah berantah yang hanya mempunyai tiga unit desktop sedangkan pelajarnya 20 orang.
Itu belum lagi dicampur kisah pelajar kelas Bahasa Inggeris hujung minggu yang terpaksa berhenti separuh jalan kerana tidak mampu membayar yuran RM10 sebulan dan kisah orang mengikuti ‘kursus’ kewartawanan secara pos, yang hanya menerima panduan menulis berita berbentuk stensilan.
Bagi sebahagian orang, salah satu cara menimba ilmu pada masa itu adalah dengan bekerja, sama ada secara sambilan atau tetap, tanpa gaji atau dengan gaji yang rendah. Yang mencuri-curi belajar dengan memerhati cara orang lain melakukan sesuatu pun ramai.
Semua kesukaran itu tidak ada lagi sekarang. Yang menjadi garis pemisah antara mahu mencari ilmu atau tidak hanyalah rajin dan malas. Untuk mereka yang rajin, sumber ilmu yang ada tidak terhitung dan tiada pula batas sempadannya.
Sebab itulah sekarang ini jangan terkejut jika anda mendapati ada orang biasa-biasa yang darjah kepandaiannya mengatasi para sarjana. Jangan juga hairan kalau kaki sabung ayam dan pakar laga ikan di kampung anda tiba-tiba menjadi ustaz dengan beribu pengikut di TikTok...#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai seorang setiausaha politik dan juga bekas wakil rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca