NUSA DUA - Negara-negara hutan hujan terbesar di dunia, Brazil, Indonesia dan Republik Demokratik Congo (DRC) secara rasmi melancarkan perkongsian iklim bagi menjalinkan kerjasama dalam pemuliharaan hutan.
Ketiga-tiga negara itu mempunyai hutan hujan tropika paling luas dan sedang diancam aktiviti pembalakan dan pertanian.
"Wakil dari Indonesa, Brazil dan DRC mengumumkan kerjasama hutan tropika dan tindakan iklim dalam sidang kemuncak iklim bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), COP27 di Mesir dan bersetuju menandatangani satu Kenyataan Bersama.
Kenyataan itu juga menyatakan negara-negara terlibat perlu mempunyai kepentingan bersama bagi meningkatkan nilai hutan tropika selain memastikan hutan ini terus memberi manfaat kepada iklim dan manusia.
Presiden baharu Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dijangka membatalkan dasar alam sekitar oleh pendahulunya Jair Bolsanaro bagi melindungi hutan Amazon.
Lula, 77, semasa kunjungan di Mesir telah berjanji untuk melengkapkan usaha sifar penebangan hutan.
Brazil telah mewakili Sidang Kemuncak Kumpulan G20 (G20) baru-baru ini oleh Menteri Luarnya, Carlos Franca di Bali, Indonesia.
DRC yang menempatkan 60 peratus keluasan hutan hujan di Congo Basin, berdepan kritikan kerana bakal mewujudkan blok gas dan minyak di kawasan tersebut.
Negara Afrika yang miskin itu berpendapat bahawa pembangunan sumber fosil itu bertujuan demi kelestarian ekonominya.
Namun, Menteri Alam Sekitarnya, Eve Bazaida Mazudi berkata, ketiga-tiga negara boleh menawarkan penyelesaian kepada perubahan iklim bersama-sama.
"Dunia kini semakin panas dan manusia sememangnya memerlukan hutan untuk mengikat karbon dioksida (CO2),” katanya. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca