SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) digesa memohon maaf kepada seluruh ahli dan penyokong Barisan Nasional (BN) dahulu sekiranya mereka mahu koalisi itu kembali membuka pintu rundingan untuk bekerjasama membentuk sebuah kerajaan perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, permohonan maaf itu penting kepada PN dan PH sebagai bukti kedua-dua koalisi itu sanggup merendahkan ego mereka setelah menghamburkan pelbagai kata-kata fitnah, makian dan cacian kepada BN sepanjang kempen PRU15 lalu.
Jelas beliau, BN hakikatnya sudah bersedia menjadi pembangkang dan tiada masalah untuk tidak dilibatkan dalam sebarang pembentukan kerajaan dengan mana-mana koalisi, baik PN mahu pun PN.
"Sebelum PRU15, PN dan PH berkempen hebat mahu menjatuhkan kerajaan BN, mengajak rakyat jangan benarkan BN menjadi kerajaan semula, menuduh kami sebagai perompak dan penyamun. Bahkan kedua-duanya mengatakan lebih sanggup jadi pembangkang daripada bekerjasama dengan BN.
"Lepas PRU15, PH sanggup datang ke WTC (Pusat Dagangan Dunia) untuk berbincang...PN pun sama. Pada saat BN sudah bersedia menjadi pembangkang, mengapa susah sangat untuk kami menjadi pembangkang?
"Apa kata PN dan PH mohon maaf dahulu kepada seluruh pendukung BN sekiranya mahu kami kembali membuka pintu rundingan?
"Sekali lagi saya tegaskan BN tiada masalah kekal pembangkang. Namun jika kestabilan negara menjadi perhitungan, kami sedia berkorban untuk membuka kembali pintu rundingan dengan mana-mana parti. Tetapi PN dan PH kena mohon maaf dahulu kepada BN," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas situasi Parlimen tergantung yang dialami negara memasuki hari keempat susulan tiada parti yang diyakini Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperoleh sokongan majoriti 112 kerusi Parlimen setakat ini.
Pasca PRU15 menyaksikan PH memperoleh bilangan kerusi Parlimen terbanyak sebanyak 82 kerusi, diikuti dengan PN (73 kerusi), BN (30 kerusi) dan Gabungan Parti Sarawak (26 kerusi).
Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 Ahli Parlimen BN menghadap baginda pada jam10.30 pagi.
Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam Selasa dilapor membincangkan pendirian BN dan ahli parlimen berhubung pelantikan Perdana Menteri serta penubuhan kerajaan baharu selepas PRU15.
PH dan PN memerlukan sokongan Ahli Parlimen mewakili gabungan parti lain, termasuk BN yang menang 30 kerusi bagi mendapat sokongan sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.
Isnin lalu, media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu berkenan untuk melanjutkan tempoh masa selama 24 jam kepada parti politik untuk membentuk kerajaan yang sepatutnya sehingga jam 2 petang berkenaan,
Selaras lanjutan itu, parti politik memiliki lebih masa sehingga petang Selasa untuk merunding pembentukan kerajaan pasca PRU15, sekali gus menamakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.
Lebih awal sebelum itu, pertemuan Ahli Parlimen BN dan PH menemui jalan buntu selepas tiada sebarang akuan bersumpah (SD) ditandatangani bagi menyokong pencalonan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.
Ketika usaha digiatkan pemimpin tertentu dalam BN supaya gabungan PH dan BN direalisasikan, wujud protes dari kalangan Ahli Parlimen gabungan itu sendiri yang menentang usaha itu.
Selain Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pemimpin lain yang dikatakan turut menentang usaha menggabungkan BN dan PH adalah Bendahari Agung BN yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Pada Selasa, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Yang di-Pertuan Agong ada mencadangkan PH dan PN bekerjasama untuk membentuk kerajaan perpaduan, namun PN menolak.
Pada sidang media, beliau menegaskan bahawa PN kekal dengan pendirian itu.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga menyatakan beliau mempunyai sokongan 115 Ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri menerusi surat akuan bersumpah (SD), dan bukti sokongan itu sudah diserahkan kepada Istana Negara.
Klik di sini untuk terus membaca