SHAH ALAM - Malaysia hari ini yang memasuki hari keempat selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu, secara sah masih tidak mempunyai Perdana Menteri ke-10. Ini susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Malaysia hari ini yang memasuki hari keempat selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu, secara sah masih tidak mempunyai Perdana Menteri ke-10.

Ini susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitah perkenan menganjurkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Khamis.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan pada Rabu berkata, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini adalah bertujuan untuk Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, bagi Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.

Setakat ini juga, tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 negara.

Dalam pada itu, satu perkembangan positif berlaku hari ini adalah Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengesahkan mereka kekal dengan pendirian menyokong gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Malah, Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof, telah menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada Al-Sultan Abdullah bagi menyatakan sokongan Ahli Parlimen GPS yang menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Konvoi kenderaan yang membawa pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) meninggalkan Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - FOTO: ROSLI TALIB

Bekas Menteri Kanan Kerja Raya itu juga mengesahkan hanya empat pemimpin GPS termasuk beliau sendiri, Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP), Tiong King Sing yang menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara.

Dengan sokongan daripada 23 wakil rakyat GPS, gabungan PN kini dikatakan sudah mempunyai jumlah mencukupi melepasi angka 115 Ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan baharu di Putrajaya.

BN yang sebelum ini dititahkan supaya 30 ahli Parlimen dari parti itu mengadap Yang Dipertuan Agong di Istana Negara pada Rabu, bagaimanapun hanya diwakili oleh tiga individu.

Mereka diwakili oleh tiga pemimpin tertinggi iaitu Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Konvoi kenderaan yang membawa pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) meninggalkan Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - FOTO: ROSLI TALIB

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah sudah memanggil menghadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara pada Selasa untuk membincangkan pembentukan kerajaan perpaduan antara kedua-dua gabungan.

Bagaimanapun, Muhyiddin dalam satu sidang medianya selepas itu, mengesahkan beliau menolak cadangan Al-Sultan Abdullah berkenaan kerana PN enggan bekerjasama dengan PH berikutan menjadi prinsip gabungan itu sejak dulu.

Muhyiddin berkata, beliau diminta menandatangani satu dokumen, namun beliau menulis nota menyatakan tidak bersetuju mengenai cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan.

Beliau juga berkata, PN telah menyerahkan dokumen mengandungi akuan berkanun membabitkan 115 Ahli Parlimen kepada Istana Negara.

Pada PRU15 lalu, PH memenangi kerusi terbanyak iaitu 82 kerusi Parlimen; diikuti PN (73 kerusi); BN (30 kerusi); GPS (23 kerusi); Gabungan Rakyat Sabah (enam kerusi); Parti Warisan (tiga); Bebas (dua) dan satu Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Klik di sini untuk terus membaca