SHAH ALAM - Membebaskan pemimpin 'kluster mahkamah' dari UMNO bukan intipati perjanjian kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha membentuk kerajaan perpaduan melibatkan dua pakatan koalisi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Membebaskan pemimpin 'kluster mahkamah' dari UMNO bukan intipati perjanjian kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha membentuk kerajaan perpaduan melibatkan dua pakatan koalisi politik itu.

Bekas Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam pertemuan rasmi antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kepimpinan BN, sebelum ini termasuk perjumpaan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, pada Selasa lalu.

Jadi kata Shamsul Iskandar, tidak timbul soal BN meletakkan syarat supaya semua kes mahkamah membabitkan pemimpinnya terutama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi perlu digugurkan jika PH mahu mereka menyokong pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Shamsul Iskandar menambah, jika badan eksekutif kerajaan perpaduan yang bakal ditubuhkan bertindak campur tangan dalam sistem kehakiman membabitkan kes mahkamah Presiden UMNO mahu pun pembangkang lain, maka ia akan mencemarkan imej PH sendiri.

Sehubung itu, Shamsul Iskandar memberi jaminan sebagai sebuah parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan, PH tidak akan campur tangan dalam urusan mahkamah.

"Saya percaya di bawah kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri, beliau tidak akan campur tangan bukan hanya dalam perbicaraan kes membabitkan Presiden UMNO, malah pemimpin PH seperti Lim Guan Eng (Pengerusi DAP) dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Saya percaya Anwar akan berpegang teguh kepada prinsip 'the rule of law' kerana beliau sendiri pernah menjadi mangsa. Jadi saya percaya beliau tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan undang-undang.

"Biarlah Guan Eng, Syed Saddiq atau sesiapa sahaja pemimpin PH yang sedang dibicarakan di mahkamah membersihkan diri masing-masing melalui sendiri proses perundangan sama sehingga selesai", katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

SHAMSUL ISKANDAR

Bagaimanapun, Shamsul Iskandar berkata, PH akan memastikan setiap orang yang didakwa dan dituduh itu bakal diadili dengan saksama dan seadilnya serta bebas daripada sebarang tekanan atau campur tangan politik.

"Malah, semasa menjadi Timbalan Menteri Industri Utama pada 2018, saya sendiri sering berulang alik ke mahkamah untuk dibicarakan dan diadili berhubung kes menghadiri perhimpunan aman sehinggalah mahkamah membebaskan saya daripada kes berkenaan.

"Saya sendiri tidak pernah meminta kes berkenaan digugurkan biarpun PH menguasai Putrajaya pada 2018 dan terpaksa mengambil cuti untuk menghadiri perbicaraan kes terbabit.

"Justeru, saya juga yakin bahawa tidak wujud perjanjian sama ada bertulis atau mulut untuk membebaskan pemimpin UMNO mahu pun PH daripada kes mahkamah dihadapi selepas kita membentuk kerajaan perpaduan nanti,"katanya.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Iskandar berkata, beliau tetap yakin Anwar akan dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menjadi Perdana Menteri ke-10 kerana sehingga kini Ahli Parlimen Tambun itu sudah mendapat sokongan daripada 115 Ahli Parlimen termasuk dari PH, BN dan Warisan.

"Saya melihat dari segi kenyataan media jelas menunjukkan BN menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri jadi saya percaya tiada halangan untuk beliau dipilih menerajui negara kali ini," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca