SHAH ALAM - Tidak ada sebarang peruntukan Perlembagaan yang mewajibkan pembentukan kerajaan itu mesti diselesaikan dalam masa beberapa hari selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dari sudut undang-undang. Ini susulan negara mencatatkan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tidak ada sebarang peruntukan Perlembagaan yang mewajibkan pembentukan kerajaan itu mesti diselesaikan dalam masa beberapa hari selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dari sudut undang-undang.

Ini susulan negara mencatatkan sejarah, empat hari berturut-turut tanpa Perdana Menteri dan kerajaan baharu di peringkat persekutuan selepas berakhirnya PRU15 ekoran tiada satu pun koalisi politik meraih majoriti mudah.

Pakar undang-undang Perlembagaan dari Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Nizamuddin Alias berkata, rakyat tidak perlu gusar selagi mana adanya Perdana Menteri dan kerajaan sementara yang akan mentadbir negara sepanjang krisis ini berlaku.

"Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih berfungsi sebagai Perdana Menteri sementara dan penjawat awam masih menjalankan tugas, jadi tidak perlu timbul rasa gusar dan takut kerana semua orang masih bebas menjalankan urusan harian.

"Apa yang berlaku sekarang ini adalah Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut Perkara 43 2(a) dalam Perlembagaan yang mana Baginda hendaklah terlebih dahulu melantik seorang Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu,” katanya kepada Sinar Premium.

Bagaimanapun, Nizamuddin menyarankan untuk mempercepatkan proses melantik Perdana Menteri dengan kadar segera sekiranya calon sudah dipilih dan mendapat sokongan parti-parti lain demi mengelakkan ketidakstabilan ekonomi.

DR NIZAMUDDIN

"Hal yang berurusan dengan pemerintahan negara ini tidak elok untuk dilengah-lengahkan kerana ia akan mempengaruhi isu belanjawan negara. Jika berlaku ketidakstabilan, ini boleh menjejaskan ekonomi dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada pasaran saham selagi mana kita tidak melantik kabinet dan Perdana Menteri.

"Sekalipun parti-parti politik ini mempunyai persefahaman yang berbeza, saya harap mereka dapat mengetepikan ego dan mengutamakan kepentingan negara dalam situasi begini,” katanya.

Pasca PRU15 menyaksikan PH memperoleh bilangan kerusi Parlimen terbanyak sebanyak 82 kerusi, diikuti dengan PN (73 kerusi), Barisan Nasional atau BN (30 kerusi) dan Gabungan Parti Sarawak (26 kerusi).

Dan ketika ini masih berlangsung rundingan demi rundingan melibatkan PH-BN dan PN-BN dalam usaha gabungan parti masing-masing meraih sokongan majoriti.

Kegagalan mana-mana pakatan politik meraih jumlah sokongan majoriti ahli Parlimen itu, memungkinkan tiga situasi berlaku iaitu pemerintahan bersifatkan kerajaan minoriti, perpaduan atau caretaker.

Nizamuddin berpandangan, tidak salah untuk cuba melaksanakan kerajaan minoriti seperti yang telah dilakukan oleh negara-negara lain dengan syarat adanya Confidence and Supply Agreement (CSA) atau Perjanjian Keyakinan dan Bekalan di antara parti-parti yang lebih kecil dengan blok yang paling besar.

CSA adalah perjanjian bertulis di antara sebuah parti politik atau beberapa ahli Parlimen bersama pihak kerajaan minoriti berkenaan apa-apa usul undi kepercayaan, rang undang-undang yang mustahak atau undi perbekalan atau bajet yang bakal dibentangkan dan diputuskan melalui proses pengundian di dalam Dewan Rakyat kelak.

"Secara teorinya, ia boleh dilaksanakan dan tidak salah untuk mencuba. Di negara lain sudah lama dibuat mengapa tidak Malaysia? Namun, adalah lebih baik sekiranya kita mendapat persetujuan daripada parti-parti lain kerana kedudukan kerajaan minoriti ini masih tidak kukuh di Dewan Rakyat.

"Selain itu, ia juga akan lebih menyenangkan urusan kerajaan yang memerintah untuk meluluskan undang-undang serta membuat dasar,” tambah Nizamuddin.

Bagaimanapun segalanya mungkin berakhir esok, susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitah perkenan menganjurkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Khamis.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan pada Rabu berkata, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini adalah bertujuan untuk Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, bagi Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.

DR RAMLAH

Tokoh sejarah, Datuk Dr Ramlah Adam berkata, Majlis Raja-Raja Melayu berperanan untuk memberi saranan dan nasihat, bagaimanapun tiada kuasa untuk melantik Perdana Menteri.

"Mesyuarat Raja-Raja Melayu boleh memberi idea tetapi dari segi Perlembagaan, hanya Yang di-Pertuan Agong layak melantik Perdana Menteri daripada seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti oleh parti yang menang dalam PRU.

"Negara ini mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan jadi mereka tidak boleh melantik Perdana Menteri sewenang-wenangnya. Saya jangkakan rakyat masih perlu menunggu,” katanya.

Ramlah berkata, situasi negara tanpa Perdana Menteri agak sukar dari segi perkembangan ekonomi kerana kerajaan tidak boleh membuat sebarang keputusan mahupun dasar.

"Buat masa ini, pentadbiran negara boleh dikawal oleh kerajaan sementara atau perkhidmatan awam sahaja selama 60 atau 120 hari bergantung kepada situasi.

"Kerajaan sementara memang boleh melakukan tugasan seperti biasa tetapi adakah kerja itu dilaksanakan dengan bernas kerana Parlimen tidak bersidang. Oleh itu, situasi seperti ini tidak seharusnya dibiarkan terlalu lama,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca