SHAH ALAM - Pilihan raya umum (PRU) semula atau penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) mungkin akan menjadi langkah terakhir yang boleh dilakukan jika parti-parti politik masih gagal berpakat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pilihan raya umum (PRU) semula atau penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) mungkin akan menjadi langkah terakhir yang boleh dilakukan jika parti-parti politik masih gagal berpakat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, tindakan untuk mengadakan semula PRU adalah perkara biasa dilakukan beberapa negara sebelum ini.

"Banyak negara menghadapi masalah sama. Pada 2019, ada negara buat sampai empat kali pilihan raya barulah dapat selesaikan masalah pembentukan kerajaan.

"Jadi, jika perkara sama berlaku di Malaysia iaitu kerajaan dan Parlimen masih tergantung, PRU semula adalah langkah terakhir,” katanya kepada Sinar Harian.

Kemelut pembentukan kerajaan masih belum selesai selepas parti-parti politik yang gagal memperolehi majoriti mudah tidak dapat konsensus untuk bergabung membentuk jajaran baharu.Hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka menganjurkan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara mengenai kemelut tersebut.

Seri Paduka Baginda mahu mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu sebelum membuat keputusan berhubung jalan keluar daripada kegawatan politik sekarang.

Selasa lalu, Al-Sultan Abdullah memanggil menghadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada Rabu pula, wakil Barisan Nasional (BN) diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan empat wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) masuk menghadap.

Bagaimanapun, belum ada kata putus mengenai siapa bakal dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10.

Sementara itu, Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, PRU mungkin diadakan semula jika masih tiada jalan penyelesaian berhubung pembentukan kerajaan dalam tempoh tidak munasabah iaitu lebih dua atau tiga minggu.

"Itu adalah antara pilihan yang ada bagi membentuk semula kerajaan yang stabil dan kukuh,” kata beliau kepada Sinar Harian.

Tambah Haniff Khatri, Al-Sultan Abdullah boleh melantik pentadbiran sementara mirip Majlis Gerakan Negara (Mageran) dalam tempoh enam atau sembilan bulan sebelum PRU diadakan.

"Hal ini kerana, negara akan lumpuh tanpa kerajaan. Tadbir urus juga akan terjejas tanpa pemerintah dalam tempoh lebih dua atau tiga minggu.

"Dalam situasi sekarang tidak perlu fikir kos, itu adalah pemikiran yang dangkal. Kos atau kestabilan politik yang lebih penting?,” hujah beliau.

Kos mengadakan PRU15 baru-baru ini adalah lebih RM1 bilion, tertinggi dalam sejarah PRU negara walaupun tidak membabitkan beberapa Dewan Undangan Negeri.

Selain itu, Haniff Khatri memberitahu, antara cadangan lain adalah membentuk kerajaan campuran, kerajaan perpaduan atau kerajaan gabungan campuran dan perpaduan.

"Ini juga salah satu cara untuk menyelesaikan kemelut pembentukan kerajaan,” jelasnya.

Menurut beliau, tidak ada halangan dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung penubuhan kerajaan minoriti asalkan perdana menteri dapat dilantik.

"Selagi perdana menteri itu dapat dilantik, maka tertakluk kepada perdana menteri itu untuk membentuk kerajaan. Tidak ada halangan dan sekatan berkaitan dengan kerajaan majoriti mahupun minoriti,” ujarnya seperti dipetik Bernama.

3 jenis kerajaan minoritiMengulas lanjut, beliau berkata terdapat tiga jenis kerajaan minoriti, iaitu yang pertama melibatkan parti dengan kerusi Parlimen terbanyak.

"PH umpamanya, mempunyai jumlah kerusi terbanyak dan parti lain bersetuju menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan PH membentuk kerajaan.

"Dalam keadaan ini, Anwar boleh melantik beberapa orang daripada parti-parti berkenaan menjadi sebahagian jemaah menteri yang membawa kepada kerajaan campuran.

Maksudnya, dua atau lebih parti bergabung dan mereka menyertai kerajaan menerusi pelantikan sebagai menteri dan sebagainya,” katanya.

Kerajaan minoriti kedua pula melibatkan kerajaan perpaduan yang mana BN, kekal sebagai pembangkang dan tidak menyertai baik PH atau PN, namun menyokong perdana menteri.

Kerajaan minoriti bentuk ketiga pula adalah melalui kerajaan campuran dan perpaduan, iaitu parti yang menyokong menjadi sebahagian kerajaan campuran dan yang tidak menyokong pula di luar kerajaan namun masih menyokong dasar-dasar yang digubal kerajaan, ujar Haniff Khatri.

Apa pun, pilihan dan keputusan kini adalah di tangan Agong.


Info Mageran


- Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan pada 16 Mei 1969.

- Ia adalah usaha kerajaan dalam menangani masalah hubungan kaum akibat peristiwa 13 Mei 1969.

- Merupakan badan sementara yang boleh menguruskan pentadbiran negara.

- Mageran diberi kuasa sepenuhnya untuk mentadbir negara.

- Dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein.

- Mageran dibubarkan pada tahun 1971.

Klik di sini untuk terus membaca