SHAH ALAM - Ekonomi negara bakal menerima impak kurang baik sekiranya kemelut politik tidak dapat diselesaikan dengan segera.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, keadaan itu dapat dilihat menerusi indeks pasaran saham yang menurun pada Selasa, selain ringgit kembali melemah selepas berjaya menguat dalam tempoh seminggu.
"Ia memberi petanda para pelabur asing mahupun tempatan tidak mahu mencampuri pergolakan yang berlaku, cukup memerhatikan pelbagai episod drama pergolakan politik Malaysia sehingga selesai.
"Sekiranya pelantikan Perdana Menteri ke-10 dan kabinetnya gagal diselesaikan dalam masa terdekat, ia pasti menjejaskan ekonomi untuk jangka masa panjang,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tegas Aimi Zulhazmi, kerajaan sementara diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh meluluskan perbelanjaan bulanan biasa seperti yang termaktub dalam bidang kuasanya.
Bagaimanapun akuinya, bagi perbelanjaan seperti perancangan menarik pelabur asing dan persediaan negara untuk menghadapi kemelesetan ekonomi global pada tahun 2023 adalah cukup membimbangkan.
"Keadaan adalah kritikal, kestabilan politik mestilah dicapai secepat mungkin untuk membolehkan kerajaan melaksanakan rancangan strategik.
"Misalnya, China yang merupakan rakan dagang Malaysia terbesar untuk 12 tahun lamanya, kini kembali menghadapi ancaman jangkitan Covid-19.
"Justeru, bandar-bandarnya terpaksa ditutup semula dan ini pasti mengurangkan aktiviti ekonomi. Situasi itu memberi kesan kepada ekonomi Malaysia juga,” ujarnya.
Selain itu katanya, harga minyak mentah dan gas yang turun naik akibat perang di Ukraine memberi kesan kepada pendapatan negara melalui Petronas.
"Ia menambahkan lagi perbelanjaan subsidi bahan api sekiranya harganya naik kembali. Ia memberikan tekanan langsung kepada hampir semua barangan dan perkhidmatan.
"Bagaimana pula dengan nilai ringgit yang terus menghadapi cabaran kenaikan kadar faedah bank pusat Amerika Syarikat.
"Ini memberi tekanan kepada Bank Negara Malaysia untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) yang pasti melemaskan para pengguna dan peniaga,” tegasnya.
Disebabkan itu, Aimi Zulhazmi berkata, kerajaan yang stabil amat kritikal dalam menghadapi cabaran terkini dan mendatang.
Klik di sini untuk terus membaca