KITA menjunjung kasih hasrat Yang di-Pertuan Agong agar kerajaan Persekutuan baharu akan merangkumi pelbagai kaum, agama dan wilayah.
Hasrat ini boleh dicapai selain pembentukan kerajaan campuran gergasi (grand coalition) yang selalu dikenali sebagai kerajaan perpaduan, merangkumi dua malah sehingga semua blok politik utama.
Kerajaan campuran gergasi membawa beberapa kerumitan. Pertama, saiz kerajaan mungkin menjadi terlampau besar untuk merangkumi wakil daripada pelbagai parti sehingga mungkin kurang kompeten dan berkesan.
Kedua, kerajaan mungkin tidak berfungsi jika parti-parti terlibat tidak dapat bekerjasama sepertimana terjadi dalam kerajaan campuran biasa antara UMNO, Bersatu dan Pas.
Ketiga, semakan dan imbangan mungkin hilang di Parlimen kerana pembangkang kurang atau tidak wujud sama sekali.
Alternatif yang lebih baik dalam mencapai keterangkuman politik ialah blok kedua yang menjadi pembangkang rasmi diberi pengiktirafan ke atas kabinet bayangannya.
Kabinet bayangan adalah satu badan terdiri daripada ahli-ahli Parlimen kanan pembangkang rasmi yang berfungsi sebagai menteri bayangan.
Kabinet bayangan bermesyuarat setiap minggu untuk menyelaraskan pendirian dasar dan bereaksi ke atas perkembangan semasa, seperti kabinet sebenar yang dibayanginya.
Kabinet bayangan boleh menghasilkan pembangkang yang profesional dan menyediakan alternatif yang tersedia untuk menggantikan kabinet sebenar sama ada melalui pilihan raya atau penjajaran semula di tengah penggal.
Untuk kabinet bayangan berfungsi secara berkesan, menteri-menteri bayangan perlu dibayar gaji (mungkin cukup sekadar separuh gaji menteri sebenar), disediakan sumber untuk penyelidikan dasar dan diberi akses untuk maklumat kerajaan.
Kekurangan kesemua perlengkapan ini menjadi alasan untuk pembangkang rasmi yang lepas tidak mengorganisasikan mereka ke dalam kabinet bayangan.
Tidak kira kerajaan Persekutuan baharu ini dibentuk dengan Pakatan Harapan (PH) yang mewakili 38 peratus pengundi atau Perikatan Nasional (PN) yang mewakili 30 peratus pengundi sebagai tunjang. Sebanyak 38 peratus (kalau PH) atau 30 peratus (kalau PN) perlu diberi perwakilan berkesan dalam Parlimen.
Mentaliti kolot bahawa pembangkang harus dipinggirkan, dianaktirikan atau diberi imbuhan untuk menyertai kerajaan pada zaman Barisan Nasional (BN) sebelum tahun 2018, PH dan PN perlu disingkirkan.
Sikap yang menindas dan ingin ‘menelan’ pembangkang cuma akan menzahirkan insentif untuk pembangkang memusuhi, malah cuba menjatuhkan kerajaan untuk memastikan dirinya terus dapat hidup.
Sebaliknya, dengan mengiktiraf peranan membina pembangkang melalui kabinet bayangan, kerajaan baharu boleh mengurangkan perasaan tidak percaya atau tidak puas di kalangan pengundi pembangkang.
Ia juga menguji keupayaan pembangkang rasmi untuk berfungsi sebagai penawar dasar alternatif.
Jika ahli-ahli Parlimen pembangkang berbalah sesama sendiri kerana pembahagian jawatan menteri bayangan, atau jika menteri-menteri bayangan malas atau tidak upaya menjalankan tugasnya, maka rakyat dapat membandingkan kerajaan baharu dengan lebih objektif dan mungkin menilainya lebih positif.
Maka, dalam perundingan pembentukan kerajaan, harus juga dibincangkan antara rakan-rakan kongsi kerajaan campuran apa tawaran akan dibuat kepada pembangkang rasmi.
Dan jika kerajaan baharu ditubuhkan dengan pengumuman tawaran yang merangkumi untuk pembangkang, rakyat dan pelabur dalam dan luar negeri boleh menjangkakan kestabilan politik yang tidak kurang daripada era kerajaan Ismail Sabri dengan Memorandum Persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik.
* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway.
Klik di sini untuk terus membaca