PARIS - Angkasawan pertama dengan kecacatan fizikal atau ‘parastronaut’ akan diketahui pada Khamis (hari ini) menurut Agensi Angkasa Eropah (ESA).
Golongan orang kurang upaya (OKU) sebelum ini dikecualikan daripada menjadi angkasawan kerana syarat ketat disebabkan persekitaran kerja yang berisiko tinggi serta memerlukan kemahiran tinggi dan rumit kerana perlu memasang komponen jentera kecil dalam keadaan graviti sifar atau zero gravity.
Untuk kerjaya mencabar ini, angkasawan dipilih daripada kalangan calon yang sihat tubuh badan, cergas, tajam akal, berpendidikan tinggi dan mudah bergaul dengan rakan sekerja.
Namun, ESA bersedia melakukan perubahan apabila memberi peluang kepada individu yang mengalami kecacatan fizikal untuk menempuh kerjaya sebagai angkasawan.
Ketua perubatan ruang angkasa ESA, Guillaume Weerts memberitahu AFP bahawa projek ‘parastronaut’ agensi itu memerlukan perubahan sepenuhnya dalam falsafah kerana selama ini kriteria berkaitan pemilihan calon angkasawan dibuat sama seperti pemilihan ketat tentera atau juruterbang jet pejuang.
Ini kerana, antara semua bidang pekerjaan, hanya juruterbang pesawat pejuang mempunyai persekitaran kerja dan mutu kecekapan yang hampir sama dengan tugas angkasawan.
Peluang sama rata
Selepas menjalankan kajian kebolehlaksanaan, ESA berkata, individu yang mempunyai kekurangan fizikal di bawah anggota badan mereka, sama ada disebabkan amputasi atau kecacatan kongenital layak dipertimbangkan untuk diserap sebagai angkasawan OKU pertama agensi itu.
Malah, individu yang hanya berketinggian sehingga 1.3 meter (m) atau yang mempunyai panjang kaki berbeza juga layak memohon.
Pun begitu, kelayakan pendidikan dan psikologi untuk setiap calon ‘parastronaut’ tetap sama seperti mana-mana angkasawan lain.
Permohonan bagi menyertai projek ‘parastronaut’ agensi itu telah ditutup pada Jun tahun lalu.
"ESA dijangka menamakan empat hingga enam angkasawan Eropah baharu (tanpa kecacatan) di Paris pada Khamis.
"Walaupun projek ‘parastronaut’ dijalankan secara berasingan, nama calon yang layak menyertai projek ini mungkin dibentang.
"Satu atau dua calon dengan kecacatan fizikal mungkin akan didedahkan kepada umum dan ia akan menjadi detik bersejarah buat ESA,” ujar Weerts.
Kecacatan bukan batasan
Dalam dunia perjalanan angkasa yang sangat tepat, hanya satu perubahan kecil boleh menjadi rumit dan ia menelan kos yang sangat mahal.
Malah, satu kesilapan kecil menjerumus kepada malapetaka yang sangat dahsyat.
Menurut Weerts, sebagai contoh, sistem sedia ada direka untuk individu yang mempunyai ketinggian tertentu.
"Sudah tentu perkara ini menjadi halangan kepada individu yang bersaiz lebih pendek.
"Bagaimanakah kita boleh memastikan dia boleh mencapai punat-punat tertentu di dalam kapsul atau roket?
"Jadi kami di ESA merancang untuk bekerjasama dengan mereka yang terpilih dalam projek ini bagi mencari jalan terbaik untuk mengatasi segala cabaran,” katanya.
Kata Weerts lagi, sebagai ahli panel pemilihan, beliau tidak dapat mendedahkan butiran tentang mana-mana calon ‘parastronaut’, namun memaklumkan ‘sekumpulan orang yang benar-benar hebat’ telah memohon dan sudah melalui proses pemilihan.
"Kami telah menemui individu-individu yang sangat mengagumkan. Proses pemilihan ini adalah bukti bahawa ketidakupayaan bukanlah satu batasan,” ujar Weerts.
Ditanya mengenai bilakah ‘parastronaut’ pertama dalam sejarah dihantar ke angkasa lepas, Weerts secara ringkas menjawab: "Perjalanan ke angkasa lepas bukan untuk individu yang tergesa-gesa.”Tambahnya, garis masa untuk menghantar ‘parastronaut’ ke angkasa sukar diramal kerana ia benar-benar bergantung kepada sebarang kemungkinan yang bakal dihadapi ESA.
"Selepas calon dipilih, ESA perlu melakukan banyak lagi kerja bagi memastikan projek ini benar-benar berjaya.
"Tapi saya percaya kita akan melihat ‘parastronaut’ pertama berada di ruang angkasa dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca