KUALA LUMPUR - Pertemuan antara pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berlangsung di sebuah hotel di ibu negara pada Rabu. Perjumpaan berlangsung selama lebih sejam bermula kira-kira jam 3.30 petang itu difahamkan... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Pertemuan antara pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berlangsung di sebuah hotel di ibu negara pada Rabu.

Perjumpaan berlangsung selama lebih sejam bermula kira-kira jam 3.30 petang itu difahamkan melibatkan tujuh pemimpin PN dan empat pemimpin BN.

Pemimpin PN yang hadir ialah Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Wakil BN yang hadir ialah Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Sebelum itu, Ismail Sabri dilihat tiba di hotel itu pada jam 2.58 petang.

Ketika ditanya media mengenai mesyuarat apa yang akan dihadirinya, beliau hanya berkata: "Tak tahu lagi.”

Difahamkan, antara inti pati perbincangan adalah bentuk tawaran yang boleh PN berikan bagi membolehkan BN memuktamadkan sokongan dalam pembentukan kerajaan baharu.

Bagaimanapun, hasil daripada pertemuan itu tidak dapat diketahui memandangkan kesemua pemimpin yang terlibat keluar melalui pintu belakang bagi mengelak daripada bertemu media.

Pihak media yang mendapat maklumat awal tentang pertemuan itu mula berkumpul di hotel berkenaan sejak jam 11 pagi.

Kemelut penubuhan kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri yang memasuki hari keempat pada Rabu menyaksikan masih tidak ada gabungan parti mendapat majoriti mudah.

Walaupun Pakatan Harapan (PH) dan PN masing-masing sebelum ini menyatakan keyakinan memperoleh sokongan mencukupi, BN yang dilihat menjadi king maker membuat keputusan untuk kekal sebagai pembangkang dan tidak menyokong mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan, sekali gus menyukarkan PH dan PN mencapai majoriti mudah 112 sokongan ahli Dewan Rakyat.

Pada Selasa, Muhyiddin menegaskan, gabungan parti itu berpendirian untuk tidak terlibat dengan penubuhan kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

Beliau juga telah menandatangani surat dan memilih untuk tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Klik di sini untuk terus membaca