APABILA Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan terbaru, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mengumumkan Yang di-Pertuan Agong bertitah... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan terbaru, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mengumumkan Yang di-Pertuan Agong bertitah pada Rabu agar satu kerajaan perpaduan perlu dibentuk pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah memberi isyarat jelas bahawa Istana Negara mahukan kelompok elit politik berhenti bermain catur dalam menentukan hala tuju pentadbiran negara, sebaliknya berjiwa besar bekerjasama sesama mereka untuk membentuk sebuah kerajaan stabil, kukuh dan efisien.

Hal ini susulan usaha pembentukan kerajaan pasca PRU15 menemui jalan buntu, dengan masa hadapan negara kembali terletak di tangan 221 ahli Parlimen dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bagi menyelamatkannya.

Dengan PH dan PN sehingga kini masih gagal melepasi angka sokongan majoriti 112 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan berikutan 30 ahli Parlimen BN memilih menjadi ahli Parlimen pembangkang, keadaan menjadi semakin sukar.

Hal ini kerana PN menyatakan keengganan mereka untuk mewujudkan kerjasama dengan PH bagi membentuk sebuah kerajaan perpaduan, walaupun PH dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat lebih terbuka dalam merealisasikan hasrat dikemukakan Yang di-Pertuan Agong.

Polemik percaturan kuasa semakin diburukkan lagi dengan sikap Ahmad Zahid yang didakwa menjadi sasaran kecaman pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam Selasa berhubung surat dihantarnya ke Istana Negara.

Vigneswaran

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon mendedahkan surat tular menyatakan 30 ahli Parlimen BN menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri ke-10 telah diperakui Ahmad Zahid dipersembahkan beliau kepada Yang di-Pertuan Agong dalam sesi menghadap Seri Paduka Baginda pada Isnin.

Sin Woon menempelak Ahmad Zahid dengan mengatakan dakwaan dalam kandungan surat itu benar-benar tidak selari dengan keputusan dibuat Dewan Tertinggi BN, iaitu koalisi itu tidak akan menyokong sesiapa sebagai Perdana Menteri buat masa ini.

"Pada mulanya Ahmad Zahid menafikan, tetapi dia mengaku selepas bukti dikemukakan, Ahmad Zahid telah menentang keputusan kolektif BN dan tidak menyampaikan dengan betul resolusi BN kepada Yang di-Pertuan Agong.

"MCA percaya Ahmad Zahid tidak lagi layak untuk terus menerajui BN, dan kami menggesa peletakan jawatannya sebagai pengerusi untuk digantikan dengan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagaimana dicadangkan semasa mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi (Selasa)," kata Sin Woon dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Sin Woon

Di sebalik serangan terhadap Ahmad Zahid, Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula mendedahkan terdapat 10 ahli Parlimen BN dikatakan telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri secara senyap-senyap, seolah-olah sudah 'dicuri' PN.

Berikutan itu, beliau mendedahkan satu pertemuan di antara BN dengan PN yang sepatutnya dijadualkan pada Isnin lalu terpaksa ditunda beberapa kali.

"Hinggalah apabila 10 SD ditandatangani ahli-ahli Parlimen BN ditarik balik atas arahan Dewan Tertinggi BN, barulah kelompok ahli Parlimen berkenaan menyatakan kesediaan untuk bertemu pada Rabu.

"Kepimpinan PH lebih gentleman dan beradab dengan membuat pertemuan secara tidak rasmi dengan tujuh pemimpin BN di Hotel Seri Pasific, mereka bentangkan terma-terma dan tawaran mereka jika BN bersetuju membentuk kerajaan perpaduan bersama mereka," ujar Asyraf Wajdi.

Berdasarkan kenyataan pemimpin-pemimpin BN tersebut, sudah terang lagi bersuluh bahawa perpecahan dalaman dalam kalangan 30 ahli Parlimen BN sudah tidak dapat dibendung lagi.

Pada saat akar umbi UMNO di peringkat Pusat dan seluruh negara telah memberi tekanan besar kepada Ahmad Zahid untuk meletak jawatan Pengerusi BN bagi bertanggungjawab di atas kekalahan paling teruk BN dalam sejarah PRU.

Terdapat pemimpin pro Ahmad Zahid yang melihat beban kekalahan itu perlu ditanggung Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku 'poster boy' parti.

Petang Rabu, rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan desas-desus satu persepakatan di antara BN dan PH telah tercapai.

Terdapat sumber daripada BN dan PH mendakwa kedua-dua koalisi berkenaan bersetuju untuk mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa ahli Parlimen parti lain demi mewujudkan kerajaan stabil.

Difahamkan beberapa syarat perjanjian dipersetujui kedua-dua koalisi berkenaan, bagaimanapun perkembangan terbaharu daripada sumber PN memaklumkan ahli-ahli Parlimen BN mungkin lebih tertarik dengan tawaran dikemukakan koalisi berkenaan.

Di sebalik pelbagai spekulasi timbul, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Dewan Tertinggi BN akan memperhalusi kedua-dua tawaran PN dan PN, sekali gus akan akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar BN menyokong sebarang pembentukan kerajaan perpaduan.

Muka depan Sinar Harian siaran Rabu.

Cuma satu perkara yang pasti, tidak kira sama ada BN akan menyokong koalisi kerajaan perpaduan melibatkan PN atau PH, koalisi yang ditubuhkan sejak tahun 1973 kini seumpama kapal Titanic yang sedang karam.

Perpecahan dalaman yang semakin parah melanda BN bukan sahaja dijangka akan mewujudkan lebih banyak sentimen kepuakan dalam UMNO, bahkan berpotensi menyebabkan parti-parti komponennya seperti MIC dan MCA akan 'cabut lari'.

Menjelang pemilihan UMNO yang wajib diadakan enam bulan selepas PRU15, ramai pemerhati politik menjangkakan 'perang dalaman' parti itu berpotensi mengulangi krisis UMNO tahun 1987, yang membawa kepada pengharaman parti itu serta penubuhan UMNO baharu.

Bak kata pepatah, menang jadi arang, kalah jadi abu. Jika krisis dalaman dan kepimpinan BN tidak dapat ditangani sebaiknya, koalisi kesinambungan Parti Perikatan itu berisiko besar bakal terkubur pada pilihan raya umum akan datang.

Sekiranya saat itu benar-benar berlaku, BN dan UMNO tidak boleh menyalahkan pihak lain.

Sebaliknya koalisi itu perlu muhasabah diri sama ada agenda perjuangan mereka selepas kekalahan BN pasca PRU14 benar-benar berorientasikan kepentingan agama, bangsa dan negara atau mendahulukan kepentingan diri.

Klik di sini untuk terus membaca