SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini menyaksikan pembentukan kerajaan melalui penjajaran politik baharu membabitkan parti yang memiliki perjuangan ideologi berbeza memberi harapan kepada kewujudan Malaysia baharu.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini menyaksikan pembentukan kerajaan melalui penjajaran politik baharu membabitkan parti yang memiliki perjuangan ideologi berbeza memberi harapan kepada kewujudan Malaysia baharu.

Bagaimanapun, Penganalisis Politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, situasi tersebut bukan kali pertama berlaku kerana ia hampir serupa dengan keadaan pernah terjadi pada tahun 1974 melalui pembentukan gabungan Barisan Nasional (BN).

"Walaupun tidaklah 100 peratus sama, tapi kita boleh kata ia lebih kurang sama kerana pada ketika itu (1974), hampir semua parti politik termasuk Pas menyokong kerajaan BN,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada berkenaan, BN yang asalnya terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC turut disertai oleh Pas, parti Gerakan dan parti-parti utama dari Sabah dan Sarawak.

Ahmad Atory menambah, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dibentuk selepas PRU14 lalu di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilihat mempunyai struktur dan pola kerjasama yang sama kerajaan dibentuk ketika ini dari aspek perbezaan ideologi.

Ini kerana katanya, PH ketika itu turut dianggotai oleh parti Bersatu sememangnya menumpukan perjuangan untuk mempertahankan hak bumiputera.

Namun begitu, beliau berpandangan kerajaan baharu dibentuk melalui penjajaran baharu kali ini dipercayai boleh kekal sehingga tamat penggal sekiranya ia memerintah secara adil dan mengambil kira semua lapisan rakyat Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Kerjasama antara gabungan berbeza ideologi juga boleh berkekalan jika semua pihak terbabit menerima prinsip-prinsip Rukun Negara dan menghormati Perlembagaan negara boleh berkekalan. Tapi bagi parti tidak hormat hal tersebut, ia sukar untuk kekal,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca