SHAH ALAM - Penantian rakyat Malaysia tentang siapa yang menjadi Perdana Menteri ke-10 berakhir apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penantian rakyat Malaysia tentang siapa yang menjadi Perdana Menteri ke-10 berakhir apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada petang Khamis.

Tumpuan kini tentunya kepada pelantikan barisan kabinet yang akan melaksanakan fungsi sebuah kerajaan perpaduan yang stabil dan efisien.

Bagi Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommuddin Bakar, penubuhan sebuah kerajaan perpaduan sebenarnya tidak menghalang Anwar untuk merealisasikan janji mengecilkan saiz kabinet kepada maksimum 25 menteri sahaja berbanding jumlah 31 menteri dalam pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ujar beliau, dengan Anwar tidak perlu terikat dengan tuntutan parti-parti yang membentuk kerajaan baharu, Pengerusi Pakatan Harapan itu mampu lebih fokus dalam melantik menteri-menteri daripada setiap koalisi parti yang berkebolehan dan berwibawa.

"Demi merealisasikan kewujudan sebuah kabinet bersifat 'cream of the cream', saya tidak menolak kemungkinan saiz kabinet kerajaan perpaduan dipimpin Anwar boleh dikecilkan sehingga bilangan 25 menteri sahaja.

"Bagi setiap parti dalam kerajaan, kuota pelantikan menteri sesama mereka mungkin sangat terhad. Untuk parti yang memiliki kerusi terbanyak seperti PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), mungkin dua menteri boleh dilantik dalam kalangan mereka.

"Bagi parti-parti kecil seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (Warisan) dan beberapa parti lain, kuota pelantikan menteri mungkin sekadar seorang atau langsung tiada.

"Paling penting, formula komposisi pelantikan jemaah menteri mengikut parti perlu diteliti Perdana Menteri secara menyeluruh bagi meminimumkan kontroversi dalam kalangan rakyat," ujarnya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi pembentukan kabinet kerajaan perpaduan baharu yang bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat oleh Anwar.

Hisommudin menambah, cabaran kedua terbesar perlu didepani Anwar selaku ketua kerajaan baharu dalam jangka masa pendek adalah untuk memastikan sentimen perkauman dan agama yang timbul, implikasi keputusan PRU15 terbelah dua, dapat dikendurkan.

"Saya fikir satu usaha penawaran perjanjian perbekalan dan kepercayaan (CSA) perlu dicapai antara Anwar dan PN yang tidak menyertai kerajaan perpaduan.

"Langkah ini penting bagi memastikan sebarang usaha membawa perpaduan kaum kembali menjadi keutamaan, sebelum kerajaan baharu memfokuskan usaha menangani isu ekonomi, masalah kos sara hidup tinggi dan gaji rakyat rendah," katanya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca