SHAH ALAM - Parti MIC tidak akan meminta sebarang jawatan dalam kabinet biarpun akur dengan perintah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya mereka menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Perdana... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti MIC tidak akan meminta sebarang jawatan dalam kabinet biarpun akur dengan perintah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya mereka menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, parti berkenaan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong supaya MIC menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang bakal dibentuk Anwar kelak.

"Biarpun, kita akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong untuk menyertai kerajaan perpaduan, MIC tidak akan menuntut sebarang jawatan menteri kabinet kerana kita berpegang kepada prinsip.

"Bagaimanapun, saya tetap mengucapkan tahniah kepada mana-mana ahli Parlimen (termasuk dari MIC) yang bakal dipilih sebagai menteri kabinet, dalam kerajaan perpaduan berkenaan nanti," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Vigneswaran yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) di Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu tewas kepada penyandang kerusi berkenaan daripada PH, S Kesavan.

Daripada 30 kerusi yang dimenangi BN, MIC memenangi satu kerusi di Parlimen Tapah yang diwakili Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan.

Terdahulu, Sinar Premium melaporkan penantian penuh debar drama menawan Putrajaya pasca PRU15 mencatatkan detik penting buat negara apabila Anwar dilantik Perdana Menteri ke-10, mengakhiri penantiannya selama 24 tahun sejak digugurkan dari kabinet dan UMNO pada tahun 1998.

Pelantikan Anwar juga amat signifikan dalam menoktahkan kemelut Parlimen tergantung yang berlarutan selama lima hari, sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

Mengimbau kembali sebenarnya, kisah penuh dramatik itu bermula dengan keputusan PRU15 apabila tiada parti mendapat majoriti mudah 112 bagi membentuk kerajaan Persekutuan baharu sekali gus telah mencetuskan pertembungan PH dan PN untuk merebut jawatan Perdana Menteri ke-10.

PH diketuai Anwar memperoleh 82 kerusi manakala PN diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin meraih 73 kerusi, diikuti BN 30 kerusi; Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23 kerusi; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi; Parti Warisan, tiga kerusi dan masing-masing satu kerusi untuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain dua calon Bebas yang menang.

Bagaimanapun dilema berhubung dakwaan PH dan PN masing-masing mempunyai cukup sokongan bagi membentuk kerajaan menjadi semakin kusut hingga akhirnya Yang di-Pertuan Agong terpaksa campur tangan.

Bertitik tolak daripada Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada Khamis, menyaksikan 'waiting game' pemilihan Perdana Menteri ke-10 berakhir dengan Anwar muncul 'pemenang' mengatasi Muhyiddin.

Kejayaan Anwar menggapai takhta Putrajaya sekali gus turut mengakhiri ‘sumpahan', 24 tahun beliau yang mengimpikan untuk bergelar pemimpin nombor satu negara sejak sekian lama.

Klik di sini untuk terus membaca