SHAH ALAM - Pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 tidak memberi satu jaminan mutlak terhadap kestabilan politik di negara ini kerana ia bakal menjadi satu permulaan terhadap perjuangan parti-parti politik lain untuk mengambil alih tampuk pemerintahan Malaysia.
Penganalisis Politik dan Antarabangsa, Dr Oh Ei Sun berkata, pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri membolehkan proses reformasi diteruskan secara teori dan juga prinsip, namun bergantung kepada siapa yang berada dalam kerajaan bawah pimpinan ahli Parlimen Tambun itu.
Namun menurutnya, parti-parti yang bergabung menjadi kerajaan juga boleh berubah pendirian.
"Sejujurnya saya tidak fikir ini menjadi satu pengakhiran kepada ketidakstabilan politik negara tetapi sebagai permulaan kerana untuk masa-masa akan datang, parti-parti politik lain akan terus berusaha lebih menonjol untuk perjuangan politik mereka.
"Kerana sekarang ini, selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (menjadi Perdana Menteri), setiap pemimpin politik akan berfikir kenapa bukan saya? Kenapa tidak saya yang dapat menjadi Perdana Menteri?
"Jadi mereka akan terus bermain politik dengan membentuk gabungan yang baharu dan sebagainya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam keadaan Malaysia yang perlu berdepan kemelesetan ekonomi global pada tahun hadapan, pelantikan ini juga adalah peluang penting untuk Anwar melaksanakan perubahan struktur negara dan membawa masuk lebih ramai pelabur.
Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, perkara paling mustahak dalam membina Malaysia di bawah kepimpinan baharu adalah memastikan negara terbentuk dengan perancangan berasaskan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan dasar keselamatan negara.
Katanya, kerajaan perpaduan yang bakal dibentuk juga wajar mengambil kira parti-parti yang memenangi banyak kerusi untuk menerajui kementerian-kementerian tertentu sebagai mewujudkan satu elemen silang parti dan proses pengimbangan kuasa dalam Parlimen yang lebih baik.
"Penting untuk meletakkan kabinet yang merangkumi parti-parti besar dalam negara termasuk Sabah Sarawak kerana ia dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan penumpuan dapat diberikan kepada isu-isu rakyat dengan lebih sempurna.
"Dengan pelantikan Anwar ini diharap masyarakat khususnya ahli politik dapat membantu membina negara yang lebih baik dan menerajui satu bentuk era kestabilan politik seterusnya membantu rakyat untuk keluar daripada elemen berkaitan isu-isu ekonomi dan sara hidup," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca