STRASBOURG - Bandar di seluruh Eropah digesa untuk menghantar penjana ganti kepada Kiev untuk membantu negara itu menghadapi ketibaan musim sejuk. Gesaan itu dibuat setelah Rusia menyasarkan infrastruktur bekalan kuasa elektrik yang dilihat... Klik di sini untuk terus membaca

STRASBOURG - Bandar di seluruh Eropah digesa untuk menghantar penjana ganti kepada Kiev untuk membantu negara itu menghadapi ketibaan musim sejuk.

Gesaan itu dibuat setelah Rusia menyasarkan infrastruktur bekalan kuasa elektrik yang dilihat sebagai 'taktik baharu' operasi ketenteraan mereka setelah ia berdepan kekalahan memalukan susulan kemaraan tentera Ukraine yang berjaya merampas semula bandar utama di Kiev.

Grid kuasa Kiev kembali menjadi sasaran bedilan bertalu-talu Moscow selepas Presiden Parlimen Eropah, Roberta Metsola melancarkan rayuan untuk mendapatkan bantuan penting yang diperlukan Ukraine.

Jutaan penduduk Ukraine sekali lagi terpaksa bergelap dan keadaan itu mencetuskan kebimbangan jika ia berlarutan dan mungkin menyukarkan mereka untuk menghadapi musim sejuk dengan suhu yang semakin sejuk.

Sebagai menyahut rayuan itu, Datuk Bandar Florence, Dario Nardella yang mengetuai rangkaian pihak berkuasa tempatan di Eropah memaklumkan beliau sedang berusaha menyelaraskan sebuah kumpulan terdiri daripada 200 bandar di blok berkenaan untuk menghantar penjana yang terdapat dalam simpanan masing-masing kepada Ukraine.

Seluruh bandar selatan Odessa bergelap setelah grid kuasa utama Ukraine dibedil bertalu-talu oleh Moscow.

"Kami menjangkakan ia akan melibatkan penghantaran ratusan penjana termasuk penjana industri yang dapat membekalkan kuasa lebih tinggi," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Turus di pejabat Presiden Ukraine, Andriy Yermark berpendapat keutamaan Kiev adalah untuk mendapatkan peralatan berat yang dapat memulihkan segera grid kuasa negara itu.

"Kami perlu memastikan penjanaan dan pembekalan kuasa yang mampan untuk mengekalkan ekonomi negara ini," katanya.

Moscow bagaimanapun menyifatkan ia sebagai serangan yang berjaya kerana telah menjejaskan keseluruhan sistem tenaga di Ukraine.

"Matlamat dan kejayaan 'operasi khas' tidak diragui lagi," kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov ketika mengadakan lawatan ke Armenia tanpa memberikan butiran lanjut.

Moldova juga terkesan

Kempen serangan yang dilancarkan Rusia ke atas sistem tenaga Ukraine juga memberi impak kepada Moldova.

"Kami turut menghadapi masalah bekalan elektrik di seluruh negara," kata Timbalan Perdana menteri, Andrei Spinu menerusi Facebook.

Sementara itu, Menteri Luar, Nicu Popescu berkata, beliau telah mengarahkan Duta Rusia untuk hadir dan memberi penjelasan tentang perkara tersebut.

Difahamkan, Ukraine membekalkan 30 peratus bekalan kuasa elektrik kepada Chisinau dan bakinya disalurkan daripada stesen janakuasa terma di Transnistria.

Kumpulan pemisah disokong Rusia dikatakan menyekat penghantaran bekalan kuasa tersebut, namun Romania cuba mengatasi masalah itu dengan menjual bekalan kuasa elektrik kepada Moldova dengan harga lebih rendah.

"Moldova bergelap lagi dan terpaksa menahan kesejukan kerana perbuatan Rusia," jelas Presiden Moldova, Maia Sandu selepas Moscow melancarkan siri serangan terbaharu yang jelas menyasarkan grid kuasa Ukraine.

Pada awal minggu lalu, syarikat gergasi tenaga Rusia, Gazprom mengancam untuk memotong bekalan kuasa selepas Kiev didakwa mengalihkan transit bekalan gas asli ke Moldova.

'Negara penaja keganasan'

Parlimen Eropah yang bersidang di Strasbourg, Perancis pada Rabu mengisytiharkan Moscow sebagai 'negara penaja keganasan' setelah ia menuduh tentera Rusia melakukan kekejaman ketika melancarkan 'operasi khas' di Ukraine.

Pengisytiharan itu dianggap sebagai langkah politik simbolik malah penggubal undang-undang Parlimen Eropah berkenaan turut menggesa blok Kesatuan Eropah (EU) supaya mengikut jejak langkah mereka.

"Serangan dilancarkan Rusia sengaja menyasarkan penduduk dan memusnahkan infrastruktur awam. Mereka turut melakukan pelanggaran serius terhadap hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa," menurut kandungan resolusi tersebut.

Difahamkan, resolusi itu disokong oleh 494 undi manakala 58 menolak.

"Rusia bukan hanya menaja keganasan malah ia menggunakan segala bentuk keganasan. Kami mahu menghantar isyarat yang jelas.

"Eropah tidak hanya akan berdiam diri apabila negara jiran yang besar melanggar kesemua standard kemanusiaan dan antarabangsa," kata Andrius Kubilius yang mewakili Lithuania.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy turut menyambut baik keputusan berkenaan setelah Kiev berterusan meraih sokongan sekutu Barat.

"Rusia wajar diboikot di semua peringkat dan perlu bertanggungjawab untuk menghentikan dasar keganasan di Ukraien dan seluruh dunia," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, laman web Parlimen Eropah dilaporkan menjadi sasaran serangan siber yang didalangi penggodam pro-Rusia tidak lama selepas ia membuat pengisytiharan 'provokasi' ke atas Moscow.

Jurucakap Kremlin, Maria Zakharova yang memberi respons secara sinis terhadap langkah simbolik itu turut memuat naik mesej di Telegram dengan menyatakan 'saya mencadangkan Parlimen Eropah sebagai penaja kebodohan'. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca