SHAH ALAM - Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara logiknya layak dipertimbangkan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) bagi kerajaan perpaduan baharu dipimpin Perdana Menteri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara logiknya layak dipertimbangkan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) bagi kerajaan perpaduan baharu dipimpin Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Jelebu daripada BN, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, hal ini kerana sebarang jawatan kabinet ditawarkan kerajaan perpaduan baharu kepada UMNO-BN haruslah mengikut keutamaan hierarki parti itu sendiri.

Jelas beliau, berdasarkan kenyataan Anwar yang bersetuju menawarkan jawatan TPM kepada pemimpin BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), kuasa melantik TPM bagi kedua-dua koalisi itu sudah pasti terletak di bawah prerogatif Ahli Parlimen Tambun itu sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Jalaluddin menegaskan sekiranya Anwar menyerahkan keputusan pelantikan jawatan TPM itu kepada UMNO-BN, beliau sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sudah pasti tidak boleh mengenepikan kelayakan Ahmad Zahid yang juga merupakan Presiden parti berstatus ahli Parlimen.

JALALUDDIN

Tambahnya lagi, isu Ahmad Zahid yang terpalit dengan kes mahkamah tidak wajar dijadikan alasan untuk Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diketepikan daripada senarai calon TPM daripada BN, memandangkan beliau belum lagi dijatuhkan hukuman atas sebarang pendakwaan ke atasnya.

"Sebagai ahli MKT UMNO, sekiranya jawatan TPM itu bakal diserahkan kepada UMNO, pastinya pemilihan pemimpin untuk menjawatnya perlu mengikut hierarki parti.

"Saya fikir jawatan TPM itu bolehlah dipertimbangkan kepada Presiden UMNO (Ahmad Zahid) kerana beliau juga merupakan salah satu daripada 30 ahli Parlimen BN.

"Saya fikir ini soal institusi UMNO di mana Datuk Seri Zahid masih lagi menjadi Presiden parti itu.

"Soal beliau berdepan kes mahkamah, ia tidak berbangkit kerana Pengerusi BN itu masih dalam proses penghakiman. Ini perkara penting yang perlu difahami mana-mana akar umbi parti," katanya sewaktu dihubungi Sinar Premium pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi Ahmad Zahid bakal dilantik sebagai salah seorang daripada dua TPM bagi membantu Anwar mentadbir kerajaan perpaduan yang baharu ditubuhkan pada Khamis.

Kali terakhir jawatan itu diisi oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah sebelum tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Jawatan yang tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan itu kemudiannya dikosongkan sewaktu pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan Keluarga Malaysia selepas peristiwa Langkah Sheraton pada Februari tahun 2020.

Namun, polemik pemilihan siapa bakal TPM bagi membantu Anwar dalam mentadbir kerajaan perpaduan mungkin menjadi semakin rumit.

Hal ini kerana inti pati perjanjian kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PH bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan menetapkan jawatan nombor dua kerajaan bakal diserahkan kepada pemimpin daripada koalisi UMNO.

Ahmad Zahid dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika sidang akhbar selepas Perjumpaan Khas Ketua UMNO Bahagian bersama Presiden Parti dan Perdana Menteri di Kuala Lumpur pada Selasa.

Pada awalnya, nama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan disebut-sebut sebagai calon terbaik untuk menggalas amanah berkenaan.

Jalaluddin yang juga bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata, beliau bukan berniat untuk bersikap berat sebelah terhadap mana-mana pihak, lebih-lebih lagi Ketua UMNO Bahagian Jelebu itu merupakan antara pemimpin lantang menolak cadangan kerajaan perpaduan melibatkan PH sebelum ini.

Berikutan itu, beliau tidak melihat cadangan akar umbi UMNO menuntut Ahmad Zahid dilantik sebagai TPM melangkaui perkara yang sepatutnya diputuskan parti dan BN.

"Kecuali Presiden UMNO menolak tawaran itu, tawaran jawatan TPM masih perlu diberikan mengikut hierarki parti bermula Ahmad Zahid, diikuti Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Timbalan Presiden UMNO dan tiga Naib Presiden parti," ujarnya lagi.

Jalaluddin juga tidak bersetuju dengan pandangan Ahmad Zahid perlu meletak jawatan parti susulan pencapaian terburuk UMNO-BN dalam sejarah PRU apabila koalisi itu hanya memenangi 30 kerusi Parlimen pada PRU15.

"Soal beban pencapaian terburuk UMNO harus terletak di atas bahu Presiden parti semata-mata, saya anggap ia tidak wajar kerana perkara itu terlalu subjektif dan tidak adil untuk menyalahkan pemimpin tertentu.

"Saya yakin UMNO-BN akan membuat bedah siasat bagi menilai kelemahan parti sehingga ditolak rakyat, khususnya pengundi Melayu pada PRU lalu.

"Paling penting, semua pemimpin UMNO dan BN perlu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar sebuah kerajaan perpaduan yang stabil dan efektif dapat ditubuhkan bagi membolehkan masalah rakyat seperti isu kos sara hidup tinggi dan masalah ekonomo dapat diselesaikan.

"Saya percaya melalui sesi penerangan tuntas kepimpinan UMNO-BN terhadap akar umbi dan pengundi, UMNO-BN mampu melaksanakan proses pemulihan parti. Soal sama ada MIC dan MCA bakal keluar BN kelak, itu harus diputuskan menerusi mesyuarat Dewan Tertinggi BN nanti," katanya.

MASTURA

PILIH TOK MAT

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Yazid menggesa UMNO-BN melantik Mohamad atau Tok Mat sebagai TPM baharu kerajaan perpaduan daripada memilih Ahmad Zahid.

Ujar beliau, Ahmad Zahid tidak sesuai menjawat kedudukan nombor dua dalam kerajaan Pusat kerana beliau masih terpalit dengan kes mahkamah.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu turut mempersoalkan keputusan Anwar melantik dua TPM pada saat PH komited untuk mengecilkan saiz Kabinet kerajaan baharu.

"YAB PM (Anwar) kata nak kecilkan Kabinet. Dah tu...kenapa ada dua TPM? Satu dah lah daripada BN/UMNO.

"Sementara itu, tolong lantik Timbalan Presiden UMNO (jadi TPM) sebab Presiden UMNO tak selesai lagi kes mahkamah," katanya dalam satu kenyataan Facebook.

Klik di sini untuk terus membaca