SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan cabaran getir dalam proses pengundian usul undi percaya keabsahannya memandangkan Akta Anti Lompat Parti tidak terpakai dalam proses berkenaan.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia sekali gus membolehkan ahli Parlimen Bebas untuk membuat undian dan Anwar perlu memperoleh sekurang-kurangnya 112 undi.
Menurutnya, implikasi daripada usul berkenaan adalah, Ahli Parlimen Tambun itu secara moralnya terpaksa meletakkan jawatan jika kalah dalam undian.
"Dalam soal pengundian usul itu nanti, ahli Parlimen tidak terikat dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
"Sebabnya, mereka masih lagi ahli parti dan mungkin pandangannya bertentangan dengan parti sahaja. Jadi, kalau parti tak berpuas hati, mereka akan dibawa ke badan disiplin dan mungkin akan dipecat, tapi masih lagi kekal sebagai ahli Parlimen.
"Dalam akta yang kita luluskan itu, memang sudah kita bincang perkara ini secara mendalam. Ia hanya melibatkan ahli Parlimen yang melompat parti, melainkan orang itu adalah Bebas dan masuk parti, itu dianggap sebagai lompat parti juga.
"Ahli Parlimen pula melakukan undian secara individu dan sulit serta bukannya melalui blok parti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Ditanya tentang proses usul berkenaan, Wan Junaidi berkata, pada masa sekarang, di dalam peraturan Dewan Rakyat, tidak ada usul undi percaya atau tidak percaya kepada mana-mana Perdana Menteri atau kerajaan.
Bagaimanapun, jika usul itu dibawa oleh pihak kerajaan, mana-mana menteri boleh mengusulkannya atas arahan Perdana Menteri ke Dewan Rakyat.
"Jadi, ia akan menjadi usul kerajaan dan notis ringkas perlu diberikan kepada dewan dalam tempoh beberapa hari sebelum persidangan. Apabila notis itu masuk dan dimaklumkan kepada Speaker, ia boleh dipercepatkan dan dibawa ke dewan.
"Selepas itu, usul itu akan dibahas dan diikuti dengan undi belah bahagi dan kita akan lihat sama ada mendapat sokongan majoriti atau tidak.
"Soal keabsahan seseorang menjadi Perdana Menteri bukannya melibatkan usul tidak percaya dengan kerajaan sebaliknya Perdana Menteri sahaja. Tetapi, usul Perdana Menteri ini mesti mendapat undian melebihi 111, iaitu separuh daripada 222 kerusi Parlimen, maknanya minimum 112 undi.
"Ia bukan berdasarkan jumlah majoriti yang hadir ke dalam Dewan Rakyat tetapi majoriti apa yang wujud dalam perlembagaan iaitu 222 kerusi,” ujar beliau.
Pengabsahan Perdana Menteri katanya, bermaksud Anwar mesti mendapat majoriti sokongan dalam dewan ketika itu dan bukannya berdasarkan jumlah kehadiran dalam dewan.
"Jika dalam Dewan ketika itu adalah 100 orang, tidak boleh dibuat undian. Ahli Parlimen yang tidak hadir dikira tidak mengundi atau berkecuali. Pengundian mesti mempunyai ahli yang cukup.
'Kalau kehadiran dalam dewan betul-betul 112, maknanya semua yang hadir mesti mengundi Anwar sebagai Perdana Menteri, baharu keabsahannya sahih,” jelasnya.
Tambah Wan Junaidi, tiada dalam peraturan berkenaan usul undi percaya atau tidak percaya tentang keabsahan Perdana Menteri dalam Parlimen Malaysia.
Sebaliknya, soal keabsahan ini adalah kehendak Perdana Menteri itu sendiri dan tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.
"Kalau orang kata dahulu ada, tidak benar kerana berdasarkan kajian saya memang tiada. Semasa zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), ada satu usul undi sokongan, tapi itu undi sokongan kepada Pak Lah. Ia bukan usul undi keabsahan, hanya usul undi sokong sahaja, jadi kalau tak cukup pun tak apa.
"Usul yang nak dibawa itu mesti ‘precise’ mengatakan bahawa ia adalah usul undi percaya atau tidak percaya pengabsahan. Kalau Perdana Menteri kalah dalam undi itu, secara moralnya beliau terpaksa meletakkan jawatan. Itu implikasinya,” katanya.
INFO: Proses usul
1. Usul dibawa oleh menteri atas arahan Perdana Menteri ke Dewan Rakyat.
2. Ia akan menjadi usul kerajaan.
3. Notis ringkas perlu diberikan kepada Dewan Rakyat dalam tempoh beberapa hari sebelum persidangan.
4. Makluman kepada Speaker apabila notis masuk.
5. Speaker akan menentukan ia boleh dipercepatkan dan dibawa ke Dewan Rakyat.
6. Usul itu akan dibahas dan diikuti dengan undi belah bahagi.
7. Sokongan majoriti minimum adalah 112 undi.
Klik di sini untuk terus membaca